Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jab Kesihatan Kelantan sahkan HUSM kuarantin sejumlah kakitangan

Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan mengesahkan sejumlah pelajar dan kakitangan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian sedang menjalani kuarantin.

Ia dimaklumkan Pengarah Kesihatan Negeri Kelantan, Dr Zaini Hussin, ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

"Saya dimaklum yang HUSM ambil insiatif untuk kuarantin kendiri pelajar dan kakitangan mereka," katanya.

Semalam, laporan Malaysiakini memetik sumber sebagai berkata, pelajar dan kakitangan hospital itu dikuarantin setelah beberapa kes positif dikenal pasti.

Kakitangan HUSM, yang enggan dinamakan, memberitahu Malaysiakini mereka mendapat tahu mengenai kes positif di kalangan pekerja hospital.

Sumber juga berkata sekurang-kurangnya dua unit telah ditutup manakala beberapa wad beroperasi di bawah kapasiti biasa kerana kekurangan kakitangan.


'Wabak Covid-19 meletus di hospital USM, dua unit tutup'


Awal minggu ini, Malaysiakini dimaklumkan oleh pemberi maklumat bahawa terdapat kes positif di kalangan pelajar di kampus perubatan USM, yang mempunyai lokasi yang sama dengan hospital berkenaan.

Individu yang menghubungi Malaysiakini itu mendakwa 600 pelajar di kampus perlu dikuarantin di asrama mereka berikutan kejadian itu.

Untuk menguatkan dakwaan itu, sumber tersebut memberikan gambar memo dalaman oleh HUSM di mana pengarahnya Dr Ahmad Sukari Halim memohon sumbangan untuk membiayai makanan harian para pelajar yang berada di bawah kuarantin.

Seorang lagi sumber yang dihubungi hari ini mengesahkan berkenaan memo dalaman tersebut.

Dalam pada itu, Zaini ketika ditanya berhubung jumlah kakitangan HUSM yang positif Covid-19, berkata pihaknya tiada maklumat tentang perkara itu.

"Kami tiada maklumat berkaitan jumlah tersebut," katanya ringkas.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah ketika dihubungi semalam tidak mengesahkan atau menafikan berhubung penularan yang berlaku.

"Siasatan sedang dijalankan," katanya melalui pesanan teks, ketika ditanya mengenai dakwaan mengenai kes positif dan perintah kuarantin terhadap kakitangan HUSM.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS