Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan, Mohamed Arshad Raji cadangan kerajaan untuk mewujudkan semula Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dibuat pada waktu yang sangat tidak relevan berikutan wabak Covid-19.
"Walaupun objektifnya di atas kertas mungkin bagus, pertimbangan serius harus diberikan kepada kemampuan, waktu dan kemungkinan alternatif yang lebih baik dan lebih murah.
"Walaupun Patriot setuju bahawa PLKN adalah program yang baik, mengembalikannya pada masa ini ketika negara ini menghadapi masalah ekonomi dan kewangan yang diperburuk oleh wabak Covid-19 yang melanda adalah tidak perlu," kata Arshad dalam satu kenyataan hari ini.
Arshad berkata banyak kritikan terhadap program berkenaan yang menyaksikan lebih daripada 20 pelatih kehilangan nyawa.
Ini katanya, termasuk objektif utama menanamkan semangat patriotisme, memupuk persefahaman, keharmonian, perpaduan, dan masyarakat Malaysia yang prihatin, telah gagal.
"Walaupun kajian mungkin menunjukkan PLKN berjaya capai skor sekitar 80 peratus dalam menanamkan semangat patriotisme, ia tidak ditunjukkan dalam tingkah laku masyarakat di kalangan remaja dan dewasa kita," katanya.
Selasa lalu, Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob memberitahu Parlimen bahawa kerajaan merancang untuk menghidupkan semula program yang dimansuhkan oleh kerajaan PH pada tahun 2018.
Cadangan itu mencetuskan kritikan, antaranya daripada bekas menteri belia dan sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang mengatakan kos program itu mencecah RM170 juta setahun dan hanya memanfaatkan segelintir kroni Umno melalui kontrak rundingan terus.
"Terdapat juga tuduhan bahawa PLKN adalah untuk perkayakan kroni, dan dengan hampir separuh daripada jumlah kos untuk membayar sewa kem latihan.
"PLKN tidak dapat dan tidak boleh dilanjutkan sehinggalah kritikan ini ditangani," kata Arshad.
Arshad mengakui objektif PLKN adalah baik untuk masyarakat yang berbilang kaum dan agama di Malaysia, namun pihaknya percaya program latih seumpama ini dimulakan di peringkat sekolah rendah sebelum ke peringkat lebih tinggi.
"Model pendidikan Jepun dan Korea dalam memupuk semangat patriotisme dan nilai-nilai baik yang lain bermula pada usia muda, adalah contoh yang boleh kita teladani.
"Model Barat mungkin tidak sesuai dengan kita kerana masyarakatnya terlalu liberal dan mungkin bertentangan dengan nilai-nilai konservatif Asia kita," katanya.