Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Sabar, usaha kembalikan mandat rakyat masih berjalan'
Diterbitkan:  Nov 28, 2020 3:31 PM
Dikemaskini: 7:31 AM

Naib Ketua AMK, Syed Badli Shah Syed Osman berkata proses "mengembalikan mandat rakyat" masih berjalan, dan justeru menggesa semua pihak, terutama dalam PH, agar bersabar.

Katanya, perbalahan antara satu sama lain di media arus perdana dan media sosial tidak membantu PH untuk menjadi kuat, sebaliknya melemahkan lagi gabungan itu.

"Muafakat dan kerjasama sesama rakan komponen PH wajib dipertahankan tanpa kompromi.

"Mandat rakyat yang diperolehi melalui PRU yang lalu telah dirampas dan usaha untuk mengembalikan mandat ini sedang berjalan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Arahan Presiden PKR Anwar Ibrahim agar ahli Parlimen pembangkang tidak menyokong undi belah bahagi untuk bacaan kedua Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat menimbulkan tanda tanya pelbagai pihak.

Undian itu boleh dianggap sebagai satu bentuk undi percaya kepada Muhyiddin Yassin dan akan menunjukkan tahap sokongan perdana menteri di Dewan Rakyat.

Langkah itu dikritik pelbagai pihak di media sosial dan mencetuskan tuduh-menuduh dalam PH.

Antaranya daripada Setiausaha Pemuda DAP Eric Teh Hoong Keat yang berkata Anwar perlu meminta maaf secara terbuka dan jika ketua pembangkang itu tidak berbuat demikian, DAP perlu pertimbang untuk "berpisah" dengan PKR.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Selangor Najwan Halimi menyifatkan kenyataan itu sebagai keterlaluan.

Katanya, sikap meletakkan kesalahan kepada Anwar sahaja adalah pembulian terhadap PKR dan khususnya Anwar, yang menurutnya telah menghabiskan masa 20 tahun untuk memperkukuhkan pembangkang.

Bagi Syed Badli, Anwar melalui fasa sukar dalam usaha mengambalikan mandat rakyat yang menuntut ketabahan dan pengorbanan.

“Di sinilah akan teruji semangat setiakawan, disiplin dan kepercayaan dari rakan seperjuangan serta parti komponen PH.

“Justeru, saya menyeru semua pihak untuk bertenang dan bersabar melalui proses sukar ini kerana matlamat sebenar untuk mengembalikan mandat masih berjalan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hari ini beberapa ahli Parlimen pembangkang memaklumkan Anwar meminta tempoh seminggu untuk membuktikan sokongan terhadapnya di Dewan Rakyat, dan berjanji akan melepaskan jawatan sebagai pengerusi PH jika gagal berbuat demikian.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS