Pembangkang masih mempunyai peluang menyatakan pendirian dalam pengundian Belanjawan 2021 di peringkat jawatankuasa selepas ini, kata Anwar Ibrahim.
“Peluang masih wujud untuk menyatakan pendirian tegas termasuk melalui undian belah bahagi di peringkat jawatankuasa dalam minggu-minggu akan datang,” kata ketua pembangkang.
Semalam, belanjawan pertama Perikatan Nasional (PN) diluluskan untuk bacaan kedua di Dewan Rakyat menerusi undian suara, meskipun sebelum ini ia menerima kritikan lantang daripada wakil rakyat pembangkang sejak dibentangkan 6 Nov lalu.
Ketika undian belah bahagi - yang memerlukan 15 sokongan ahli parlimen - cuba dilakukan oleh ahli parlimen Pokok Sena, Mahfuz Omar, hanya 13 ahli parlimen pembangkang yang berdiri menyokong.
Ini menyebabkan pembangkang, terutamanya PH, menerima kritikan hebat di media sosial oleh penyokong mereka.
Dalam kenyataan hari ini, Anwar berkata dia meminta tiada undi belah bagi dibuat supaya pengumuman menteri kewangan dalam diteliti secara mendalam.
“Ahli-ahli parlimen berhak mempersoal apakah peruntukan-peruntukan ini adalah tambahan kepada yang telah diumum atau terhasil dari pemotongan mana-mana kementerian lain, apakah jumlah sebenar belanjawan, serta kesan terhadap situasi kewangan negara, selain isu golongan yang masih mendambakan bantuan seperti pemandu teksi, pengusaha kantin dan ramai lagi.
“Beberapa mekanisme termasuk berkenaan pengeluaran dana dari KWSP dan moratorium bank juga perlu diteliti,” kata anggota parlimen Port Dickson.
Anwar juga berkata, dalam sejarah perjalanan parlimen Malaysia belum pernah belanjawan dipinda seperti berlaku di Malaysia.
“Ini adalah tanda kesediaan Perikatan Nasional melakukan apa sahaja untuk kekal berkuasa, termasuk melanggar duluan parlimen,” katanya.