Paling Popular
Terkini

Beberapa guru pelatih yang menjalani latihan mengajar (praktikum) berpendapat kaedah Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara bersemuka lebih berkesan jika sekolah dibuka semula.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Vokasional (Katering) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Nur Syareeza Abdullah berkata PdP secara atas talian menyukarkan guru pelatih untuk menilai kemampuan amali anak murid mereka.

"Bagi kelas teori memang mudah untuk dilaksanakan sekiranya rangkaian internet dan peranti sudah ada.

"Namun begitu, bagi kelas amali agak sukar kerana pelajar tidak berada di dalam kelas sebaliknya berada di tempat masing-masing," katanya kepada Malaysiakini.

Memetik laporan 8 Nov lalu, Menteri Pendidikan Dr Radzi Jidin berkata semua sekolah yang ditadbir Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) - termasuk di negeri yang tidak dikenakan perintah kawalan pergerakan bersyarat - ditutup mulai Nov 2020 sehingga Jan 2021.

Pun begitu, kata menteri kanan terbabit, proses PdP akan diteruskan melalui kaedah atas talian atau pembelajaran di rumah mengikut kesesuaian pelajar.

Syareeza berkata, sekiranya kerajaan benar-benar ingin melanjutkan tempoh penutupan sekolah sehingga tempoh berkenaan, ia amat sukar untuk memastikan anak murid memberi komitmen sepenuhnya terhadap pembelajaran.

"Cabaran untuk memastikan pelajar memberi komitmen sepenuhnya terhadap pembelajaran adalah sangat sukar.

"Masalah-masalah seperti kekurangan rangkaian internet, ketiadaan peranti seperti komputer menjadi penghalang kepada pelajar untuk memberi komitmen terhadap pelajaran," jelasnya.

Ajar Sains atas talian undang banyak masalah

Senada dengan Syareeza, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Kimia) Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Nur Amira Ramli menjelaskan PdP secara atas talian ini mendatangkan pelbagai masalah kepada guru pelatih.

Malah katanya, PdP topik-topik Sains yang melibatkan graf, pengiraan dan uji kaji makmal tidak berkesan dijalankan secara atas talian.

"Saya berharap situasi Covid-19 di Malaysia beransur pulih dan sekolah dibenarkan buka semula kerana pembelajaran atas talian ini sukar untuk semua pihak termasuk bagi guru praktikum.

"Bagi masa akan datang, saya juga berharap sesi praktikum ini dapat dijalankan pada masa yang sesuai di mana tidak semasa perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) kerana bagi saya sebagai guru praktikal masih banyak yang saya perlu belajar," jelasnya.

Radzi sebelum ini berkata pelaksanaan PKPB yang dikuatkuasakan mulai 9 Nov lalu menyebabkan 74 peratus sekolah di bawah KPM ditutup.

Namun begitu, KPM mengambil keputusan menutup semua sekolah kelolaan mereka sehingga hari akhir jadual persekolahan.

Tak dapat ajar secara bersemuka

Menurut pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (TESL) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Abu Hafidz Abu Khalid, dia merasa tidak puas hati apabila terpaksa menjalankan praktikum secara atas talian.

"Saya agak tidak berpuas hati kerana saya tidak dapat mengajar secara bersemuka disebabkan pandemik ini.

 

"Kenangan saya sebagai guru praktikum hanya tiga minggu di sekolah, selebihnya di ruang tamu rumah saya," katanya.

Malah katanya lagi, PdP secara atas talian hanya akan berkesan jika mendapat kerjasama daripada pelbagai pihak.

"Jika murid-murid mempunyai komitmen dan kelengkapan yang cukup, serta sokongan moral daripada ibu bapa, pendidikan atas talian pasti berkesan.

"Kebanyakan murid saya juga berkongsi telefon pintar dan komputer riba dengan adik-beradik mereka," jelasnya.

Merujuk kepada kajian KPM, Ahli Parlimen Kulai Teo Nie Ching dalam perbahasan di Dewan Rakyat berkata, 37 peratus pelajar di bawah KPM tidak mempunyai sebarang peranti bagi sesi pembelajaran atas talian.

Secara tidak langsung ini bermakna, 1.7 juta pelajar sekolah rendah dan menengah tergolong dalam kelompok 'miskin digital'.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS