Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Kelantan rekod 28 kes, satu kluster baru
Diterbitkan:  Nov 26, 2020 7:56 PM
Dikemaskini: 11:56 AM

Kelantan merekodkan peningkatan ketara kes Covid-19 dengan 28 kes baru hari ini dan tertinggi sejak dua minggu lalu.

Malah, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) turut memaklumkan satu lagi kluster baru iaitu kluster Cengal yang membabitkan 15 kes jangkitan termasuk sembilan kes terbaru.

Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kelantan dalam kenyataan harian berkata, 14 kes direkodkan di daerah Kota Bharu, sembilan kes di Tanah Merah, lima kes di Machang dan satu kes di Bachok.

"Daripada jumlah kes baru yang direkodkan, lapan daripadanya adalah kontak rapat kluster Mengketil.

"Sembilan kes adalah kontak rapat kluster Cengal membabitkan daerah Machang dan Kota Bharu. Lain-lain kes pula membabitkan kluster Kaya hasil kes saringan berisiko luar negeri iaitu dari Sabah dan Selangor," kata kenyataan tersebut.

Tambah kenyataan itu, peningkatan kes hari ini juga menjadikan Kota Bharu kini sebagai zon merah, manakala daerah Machang dan Tanah Merah zon jingga dan empat daerah lain termasuk Pasir Mas dan Tumpat adalah zon kuning.

Sebagai rekod sehingga kini Kelantan mempunyai 130 kes aktif daripada 330 kes terkumpul dan tiga kes melibatkan kematian.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS