Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hisham tak pasti sama ada Jho Low benar-benar di China

PARLIMEN | Menteri Luar, Hishammuddin Hussein berkata, pihaknya tidak tahu sama ada ahli perniagaan kontroversi yang terkait dengan skandal 1MDB Low Taek Jho atau Jho Low benar-benar berada di China.

Sekiranya ada, jelas Hishammuddin, tiada sebab Wisma Putra tidak boleh membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membawa pulang ahli perniagaan buruan itu.

Dia berkata demikian bagi menjawab soalan celahan RSN Rayer (Jelutong-DAP) berhubung usaha kerajaan untuk membawa pulang Jho Low melihat hubungan baik kedua-dua negara itu.

“Saya tidak tahu sama ada dia (Jho Low) benar di China.

“Sekiranya PDRM memaklumkan kedudukan beliau, tiada sebab Wisma Putra tidak boleh membantu untuk membawa balik Jho Low menghadapi penghakiman,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Pada 4 Dis 2018, Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengeluarkan waran tangkap terhadap Jho Low bagi membantu siasatan 1MDB.

Jho Low bukan sahaja dikehendaki oleh pihak berkuasa bagi pembabitannya dalam kes penyelewengan dana 1MDB tetapi juga merupakan saksi penting perbicaraan yang membabitkan bekas perdana menteri Najib Abdul Razak.

Sejak itu pelbagai usaha dilakukan oleh pihak berkuasa Malaysia untuk membawa pulang lelaki berkenaan.

Pada 5 Julai 2018 lalu, Jho Low disahkan sudah melarikan diri ke Macau, China.

Pada 22 Okt tahun yang sama, Hishammuddin – yang ketika itu bekas menteri pertahanan- menawarkan diri untuk mencari ahli perniagaan itu bagi menyelesaikan kes 1MDB.

Katanya, tawaran itu dibuat atas kapasiti peribadi dan bukannya permintaan daripada Putrajaya.

Tambah Hishammuddin, hasratnya untuk mencari Jho Low juga bukan untuk melarikan diri lari daripada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seperti didakwa segelintir pihak.

Isu Rohingya dalam sidang kemuncak Asean

Sementara itu, Hishammuddin juga berkata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin telah mengetengahkan beberapa pendirian Malaysia semasa Sidang Kemuncak Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (Asean) ke-37 pada 12 Nov.

Antaranya, berhubung isu Rohingya, Malaysia berpendapat masalah di wilayah Rakhine harus ditangani dengan segera.

“Perdana menteri mengulangi keperluan Asean untuk mencari penyelesaian komprehensif kepada krisis kemanusiaan di wilayah Rakhine, Myanmar dan sekali gus isu pelarian Rohingya yang memberi kesan kepada keselamatan dan kestabilan negara-negara serantau, termasuk Malaysia.

“Menurut perdana menteri, Malaysia tidak boleh menampung lebih ramai lagi pelarian Rohingya,” katanya.

Tambahnya, Malaysia turut menggesa komuniti dan pertubuhan antarabangsa berkaitan membincangkan langkah-langkah konkrit berkenaan isu hubungan Palestin dan Israel.

Tidak ketinggalan berhubung isu tuntutan Filipina ke atas Sabah.

“Perdana menteri juga telah memberi jaminan kepada rakyat negeri Sabah sendiri pada 29 Ogos 2020 bahawa Malaysia tidak akan berkompromi terhadap apa sahaja isu melibatkan kedaulatan negeri Sabah dan akan mempertahankan Sabah sampai bila-bila,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS