Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Maszlee bayangkan akan tolak Belanjawan 2021
Diterbitkan:  Nov 26, 2020 12:18 PM
Dikemaskini: 6:52 AM

  • Dikemas kini dengan laporan penuh.

Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik membayangkan akan menolak Belanjawan 2021 dalam pengundian di parlimen hari ini.

Walaupun tidak menyebut secara jelas, anggota parlimen Simpang Renggam berkata nasib pendidikan negara masih “kabur dan tidak jelas”.

“Semua isi ini perlu dipandang serius dan diambil peduli.

“Ini penting bagi memudahkan ahli parlimen yang lain membuat keputusan untuk menyokong atau tidak ketika pengundian dijalankan kelak,” kata wakil rakyat bebas itu dalam kenyataan sebentar tadi.

‘Bukan belanjawan Covid-19’

Bekas anggota Parti Pejuang Tanah Air pimpinan Dr Mahathir Mohamad itu turut menyifatkan belanjawan kali ini bukan belanjawan Covid-19.

"Maaf jika saya katakan, belanjawan yang dibentangkan ini bukanlah Belanjawan Covid-19.

"Nasib dan masa depan pendidikan masih kabur dan tidak menentu. Semua isi ini perlu dipandang serius dan diambil peduli.

“Ini penting bagi memudahkan ahli parlimen yang lain membuat keputusan untuk menyokong atau tidak ketika pengundian dijalankan kelak," katanya.

Tambahnya rakyat juga tidak dapat melihat dengan jelas pelan jangka panjang pendidikan.

"Saya membangkitkan isu ini kerana jelas KPM (Kementerian Pendidikan) tiada hala tuju dalam menangani isu Covid-19.

"Menteri pendidikan juga tidak menjawab pertanyaan saya adakah KPM telah melaksanakan libat urus dengan pemegang taruh seperti ibu bapa dan kesatuan guru sebelum memutuskan sebarang keputusan penting yang melibatkan masa depan anak bangsa? 

"Sehingga hari ini, tiada satu inisiatif pun dalam belanjawan tersebut yang memberi impak kepada guru, murid mahupun ibu bapa.

"Bahkan banyak peniaga yang terlibat dalam ekosistem pendidikan seperti peniaga kantin dan pengusaha bas tidak mendapat sebarang manfaat dalam belanjawan tersebut," katanya.

'Soalan tak diendahkan menteri'

Menurut Maszlee, tiada satu soalan yang diperincikannya diendahkan oleh menteri pendidikan Mohd Radzi Md Jidin.

"Pada 8 November yang lalu, saya telah memperincikan tujuh soalan penting kepada menteri pendidikan. Ketujuh-tujuh soalan ini saya tanyakan sekali lagi ketika membuat perbahasan Belanjawan 2021 pada 16 November lalu.

"Namun ketika membacakan teks penggulungan perbahasan beberapa hari lepas, menteri pendidikan tidak mengendahkan soalan-soalan yang diutarakan.

"Soalan-soalan itu membabitkan nasib pemegang-pemegang taruh terbesar dalam sektor pendidikan seperti anak-anak dari keluarga miskin, pekerja-pekerja kantin dan pengusaha bas sekolah," katanya.

Mohd Radzi Md Jidin

Hari ini semua mata tertumpu ke Dewan Rakyat apabila kerajaan PN cuba meluluskan belanjawan pertamanya.

Jika belanjawan itu gagal diluluskan, ia boleh dilihat sebagai satu undi tidak percaya terhadap perdana menteri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS