Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Susulan pandemik Covid-19, sekarang masa yang getir dalam penjagaan kesihatan mental.

Menurut statistik terkini Polis Diraja Malaysia (PDRM), kes bunuh diri daripada 18 Mac sehingga 30 Oktober dilaporkan berjumlah 266 kes.

Ini jumlah yang sangat membimbangkan memandangkan dalam tempoh enam tahun terakhir, purata kes hanya kira-kira 60 kematian sahaja setahun.

Memetik Bukit Aman, Kosmo! melaporkan, sebanyak 25 peratus punca kes bunuh diri pada tahun ini disebabkan tekanan hutang, yang berlaku ketika ekonomi negara semakin lembab.

Setakat bulan lepas, dilaporkan lebih 80,000 hilang pekerjaan sejak kerajaan memperkenal perintah kawalan (PKP) pergerakan pada Mac.

Persoalannya, adakah wajar untuk menghukum mereka yang cuba untuk membunuh diri?

Atau sepatutnya kita cuba memulihkan kesihatan mental mereka?

Bawah Seksyen 309 Kanun Keseksaan, cubaan bunuh diri boleh dihukum penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Penasihat Malaysian Medics International (MMI) Dr Sean Thum berkata masyarakat dan penggubal undang-undang perlu diyakinkan bahawa pesakit mental yang cuba membunuh diri hendaklah diberikan rawatan psikiatri, bukan dilayan seperti penjenayah.

“Jika kita ambil Singapura sebagai contoh, langkah untuk dekriminalisasi cubaan bunuh diri disambut baik oleh masyarakat kerana penggubal undang-undang menyedari bahawa cubaan bunuh diri sebenarnya adalah seruan meminta pertolongan.

“Sekiranya pesakit diberi tanggapan buruk setelah percubaan (bunuh diri) gagal, ia mungkin menyebabkan keadaan kesihatan mental mereka menjadi semakin teruk.

“Namun jika pesakit mendapat rawatan dan sokongan yang baik, terdapat kemungkinan untuk kita mencegah percubaan seterusnya,” katanya kepada Malaysiakini.

Tambah Sean, Covid-19 menyebabkan masyarakat hilang sumber pendapatan, kebebasan kehidupan seharian dan kehidupan normal.

“Dan kehilangan ini menjadi punca stres yang cenderung memburukkan kesihatan mental masyarakat pada tahun ini,” katanya.

Ikut India, kata ahli akademik

Dalam jurnal Reconciliation of Law and Medicine with Reference Made to Section 309 of the Penal Code yang diterbitkan pada tahun ini, Sean berkata India telah pun menyah jenayah perbuatan bunuh diri pada 2017.

Menurutnya, dalam jurnal yang ditulis bersama dengan Melissa Chia Pui Feng, Malaysia sebelum ini memperkenalkan undang-undang itu dengan menyadur Kanun Jenayah India.

Melissa ketika dihubungi Malaysiakini pula berpendapat undang-undang perlu diselarikan dengan pandangan pengamal perubatan.

“Adakah definisi pemeliharaan nyawa dapat dicapai jika kita menghukum pelaku yang memerlukan bantuan kesihatan mental?

“Atau adakah mereka akan lebih menghargai nyawa mereka jika diberi pertolongan dan bukannya dihukum?” katanya.

Dia juga berkata langkah India dekriminalisasi cubaan bunuh diri, dengan memperkenalkan akta baru, merupakan langkah yang progresif dan patut dicontohi.

“Bawah akta baru ini, semua pelaku cubaan bunuh diri hendaklah dianggap mengalami stres yang teruk kecuali jika dibuktikan sebaliknya.

“Dalam erti kata lain, pemeliharaan nyawa individu dapat dijaga dan pada masa yang sama keperluan mereka yang memerlukan penjagaan kesihatan mental dapat dipenuhi,” tambahnya.

Melissa, yang juga calon PhD Universiti Tasmania berkata, peningkatan ketara kes bunuh diri sepanjang pandemik menjadi penyebab undang-undang negara perlu dipinda segera.

Gesaan untuk memansuhkan Seksyen 309 diterajui oleh mendiang bekas menteri undang-undang Liew Vui Keong pada Disember 2019.

Liew menegaskan negara memerlukan mekanisme mampan dan berkesan bagi membolehkan individu yang cuba membunuh diri mendapatkan rawatan kesihatan mental terlebih dahulu.

Cadangan untuk meminda undang-undang tersebut sepatutnya dibentangkan di parlimen pada Jun lalu.

Namun menurut menteri undang-undang Takiyuddin Hassan, kajian untuk meminda Seksyen 309 dan 306 Kanun Keseksaan masih lagi diteliti oleh Jabatan Peguam Negara.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS