Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KSM kuatkuasa Akta Standard Minimum Perumahan untuk pekerja asing
Diterbitkan:  Nov 25, 2020 5:27 PM
Dikemaskini: 12:53 PM

Kementerian Sumber Manusia akan menguatkuasakan Akta Standard Minimum Perumahan dan Perumahan Pekerja 1990 bagi memastikan majikan menyediakan tempat tinggal yang sempurna kepada pekerja asing.

Menteri Kanan (Kluster Pertahanan) Ismail Sabri Yaakob berkata majikan yang gagal berbuat demikian boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 bagi setiap pekerja di bawah akta berkenaan.

"Ada satu kilang di negara kita mendapat ulasan, berita, komen yang agak kurang baik daripada pihak antarabangsa kerana menempatkan pekerja secara bersesak dan sebagainya.

"Jadi akta ini adalah unuk memberikan perumahan yang lebih selesa dengan kondisi yang baik kepada pekerja.

"Kementerian Sumber Manusia memaklumkan kepada mesyuarat tadi bahawa penguatkuasaan akan bermula esok. Esok akan dimulakan penguatkuasaan memastikan akta standard perumahan tadi dipatuhi oleh setiap majikan, industri dan sebagainya," katanya.

Ismail bagaimanapun tidak menamakan kilang atau badan antarabangsa berkenaan.

Pengumuman itu dibuat ketika berlaku lonjakan kes Covid-19 yang disebabkan oleh kluster berkaitan beberapa kilang terutama kilang Top Glove di Klang baru-baru ini.

Akta berkenaan yang juga dikenali sebagai Akta 446, pada awalnya diwujudkan untuk memastikan standard minimum untuk tempat tinggal pekerja di ladang dan lombong yang melebihi 20 ekar, tetapi pindaan diperkenalkan tahun lalu untuk diperluaskan kepada semua industri.

Akta ini pada awalnya dijadualkan untuk dikuatkuasakan pada 1 Jun tahun ini, tetapi ditangguhkan ke 31 Ogos walaupun terdapat kebimbangan keadaan tempat tinggal yang daif boleh memburukkan penyebaran Covid-19 di kalangan pekerja asing.

Pada 22 Julai, kementerian Sumber Manusia mengatakan pindaan tersebut akan berkuatkuasa pada 1 Sept.

Untuk rekod, pindaan tersebut telah diwartakan menjadi undang-undang mulai 1 Jun.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata kerajaan akan mempertimbangkan untuk melakukan ujian saringan terhadap semua pekerja asing di kawasan yang berada dalam perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) setiap dua minggu.

Buat masa ini, keutamaan diberikan terhadap seramai 800,342 pekerja di Selangor, Kuala Lumpur, Labuan, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS