PARLIMEN l Penggulungan perbahasan peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 di Dewan Rakyat yang sedang berlangsung dilaporkan lebih lewat daripada yang dijadualkan.
Walau bagaimanapun, kerajaan masih berpeluang supaya pengundian bagi meluluskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 esok dengan memberikan lanjutan sedikit masa .
“Esok makan kenyang-kenyang, jangan lari ya,” kata M Karuppaiya (Pakatan Harapan-Padang Serai) pada akhir sesi hari ini.
Sidang Dewan Rakyat semasa tidak memperuntukkan sebarang waktu rehat makan tengah hari.
Pada akhir sesi Dewan Rakyat hari ini - yang dilanjutkan sehingga jam 3.12 petang - masih ada tiga kementerian yang belum sempat membuat penggulungan.
Setakat ini masih ada sembilan kementerian yang belum menggulung perbahasan kementerian masing-masing - iaitu - Pertanian dan Industri Makanan; Kementerian Luar; Perpaduan Negara; Kesihatan; Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna; Pembangunan Usahawan dan Koperasi; Pelancongan, Seni dan Budaya; Perladangan dan Komoditi; dan Kewangan.
Pada tahun-tahun sebelum ini, kerajaan memerlukan sekitar 40 minit atau lebih untuk mengulung setiap kementerian.
Namun, mereka kini diberikan hanya 20 minit untuk penggulungan. Ini kerana sesi Parlimen dipendekkan sehingga jam 2 petang susulan penularan wabak Covid-19 yang sedang melanda negara.