Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Institusi parlimen merupakan tonggak utama sistem demokrasi. Ia ibarat tiang seri kepada konsep kerajaan moden. Intipati utama sistem demokrasi itu sendiri disandarkan kepada konsep semak dan imbang (check and balance) antara tiga komponen utama yang membentuk kerajaan; eksekutif, kehakiman dan perundangan. Tanpa salah satunya berfungsi efektif, sistem demokrasi menjadi canggung dan cacat.

Sejarah demokrasi berparlimen berakar daripada tradisi Inggeris dalam memastikan integriti dan ketelusan pemerintahan. Sebagai contoh, pada era pemerintahan Raja Charles I (eksekutif), baginda memutuskan untuk mentadbir negara tanpa menghiraukan peranan parlimen (perundangan).

Natijahnya, amalan prinsip demokrasi itu akhirnya runtuh dan menyebabkan perang saudara (English Civil War) meletus di England dari tahun 1642-1651. Oleh yang demikian, autonomi parlimen perlu terus dipelihara sebagai sebuah institusi yang mewakili suara rakyat terbanyak.

Malaysia mengamalkan sistem Westminister sebagai panduan berkerajaan. Sejak mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, prinsip semak dan imbang terus menjadi asas utama pengoperasian kerajaan persekutuan sehingga ke hari ini.

Sejarah demokrasi di Malaysia menyaksikan sebuah perikatan tunggal parti-parti politik sahaja yang menguasai dewan sejak pilihan raya umum yang pertama kalinya diadakan pada tahun 1955. Selama hampir lima dekad, mitos '2/3 majoriti’ sebagai penanda aras kerajaan yang stabil telah ditamatkan riwayatnya pada pilihan raya umum 2008.

Pembaharuan sistem parlimen

Sejak PRU12, tiada lagi ‘politik abang besar’ di Malaysia. Proses semak dan imbang melibatkan rundingan antara pihak kerajaan dan pembangkang akhirnya dilaksanakan secara beransur-ansur. Keadaan semakin bertambah baik apabila Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan persekutuan pasca pilihan raya umum 2018.

Antara pembaharuan yang dilakukan oleh PH ialah dengan melantik wakil pembangkang ke dalam Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC). Bermula dengan Ronald Kiandee sebagai pengerusi PAC (ahli parlimen Umno ketika dilantik), kerajaan PH kemudiannya mencatat sejarah dengan langkah progresif melalui pelantikan Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong) sebagai ahli parlimen wanita pertama yang menjadi pengerusi PAC.

Amalan ini diteruskan ketika ini oleh kerajaan Perikatan Nasional dengan melantik Wong Kah Woh (DAP-Ipoh Timur) dan ahli PAC yang merangkumi wakil kerajaan dan pembangkang. Saya berpendapat pembaharuan ini tidak akan tercapai jika kerajaan PH tidak meletakkan asasnya ketika memerintah selama 22 bulan dahulu.

Sebenarnya, pembaharuan sistem parlimen juga perlu dilakukan dengan menginstitusikan jawatan ketua pembangkang di parlimen. Merujuk kepada Erskine May: Parliamentary Practice yang menjadi panduan berparlimen di United Kingdom, ketua pembangkang merupakan prime minister in waiting yang bakal membentuk kerajaan pada kemudian hari. Begitulah lazimnya. Secara ideal, kedudukan ketua pembangkang perlulah bertaraf menteri penuh dan harus dihormati serta mendapat keistimewaan seperti mana yang dinikmati oleh ahli jemaah menteri.

Selain itu, pembaharuan amalan berparlimen perlu juga mencakupi urusan pembahagian peruntukan yang adil dan saksama di kalangan ahli parlimen tanpa mengira parti politik yang mereka wakili. Logiknya pun, mereka (MP) dipilih oleh rakyat dan duit cukai yang dikutip oleh kerajaan untuk mentadbir negara juga datangnya dari kantung rakyat. Amalan menafikan peruntukan untuk mereka adalah ibarat menghukum rakyat secara tidak adil yang telah memilih wakil mereka menerusi sistem pilihan raya!

Kerajaan pada hari ini memerintah negara dengan majoriti yang amat tipis di parlimen. Seperti mana kelakuan mereka yang dikritik hebat dalam ‘Langkah Sheraton’, kini nasib kerajaan Perikatan Nasional seperti ‘telur di hujung tanduk’. Ditambah dengan percakaran antara parti komponen seperti Umno, Bersatu dan PAS, perikatan politik ini ibarat ‘retak menanti belah’.

Seruan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebelum ini agar semua pihak bersatu hati, menjadi semakin jelas sebagai sebuah slogan kosong. Perundingan mengenai belanjawan 2021 dilihat tidak melibatkan blok ahli parlimen pembangkang secara telus dan jujur.

Bahkan, ia tidak langsung mencerminkan suatu belanjawan yang ‘inklusif’ padahal sokongan majoriti Perikatan Nasional dari kalangan ahli Dewan Rakyat adalah amat meragukan. Saya berpendapat, Muhyiddin masih hidup dalam kenangan sentimental beliau sendiri pada era Umno dan tidak berpijak di bumi nyata.

Pekerjaan, pendidikan dan digitalisasi

Pembentangan belanjawan 2021 membuktikan Muhyiddin sudah melupakan ‘Mak cik Kiah’. Majoriti yang terkesan dengan penularan wabak Covid-19 adalah mereka yang berada dalam kategori B40 dan M40. Sekurang-kurangnya seramai 2.4 juta rakyat menerima bahana kelembapan ekonomi akibat penularan wabak ini.

Malaysian Employers Federation (MEF) menganggarkan seramai dua juta pekerja di Malaysia akan terkesan akibat kelembapan ekonomi. Anggaran separuh tahun 2020 sahaja, hampir 500,000 rakyat sudah kehilangan pekerjaan. Situasi ini lebih buruk berbanding Krisis Kewangan Asia pada tahun 1997-1998.

Mencipta peluang pekerjaan berdasarkan perniagaan atas talian merupakan bidang yang perlu diberikan keutamaan dalam era pendemik ini. Kesan penularan Covid-19, gig economy telah muncul sebagai alternatif kepada rakyat dalam mencari rezeki.

Sebagai contoh, industri penerbangan dilanda kemerosotan teruk sehingga syarikat penerbangan seperti Malindo dan Air Asia melakukan pemberhentian pekerja seramai 10 peratus kakitangan meliputi kru teknikal hinggalah juruterbang. Kerajaan sepatutnya menyediakan platform suai padan pekerjaan kepada mereka yang kehilangan pekerjaan ini.

Selain itu, norma baharu menyebabkan konsep work from home dan online classroom menjadi alternatif kepada norma sebelum ini. Namun, keterbatasan capaian Internet menyebabkan rakyat khususnya di luar bandar menghadapi masalah berhadapan situasi ini.

Justeru, digitalisasi telah mengambil tempat menjadi tonggak utama dalam pendidikan, tak kira dari lapangan persekolahan rendah, menengah bahkan pengajian tinggi.

Dalam usaha di peringkat universiti menghasilkan graduan yang berprestasi setaraf dengan pendidikan tinggi di luar negara misalnya, kesalinghubungan Internet di institusi pengajian ini haruslah diperhebat. Namun, kerajaan hanya memperuntukan sebanyak RM50 juta sahaja untuk tujuan naik taraf akses Malaysian Research and Education Network (MYREN).

Kerajaan tak lagi 'tahu segala-galanya'

Ketidaktelusan pengagihan peruntukan belanjawan pada era government knows everything sudah berakhir. Sekarang ini adalah zaman kerajaan harus bersikap responsif dan berlapang dada dengan apa juga saranan dan kritikan.

Pada satu sudut yang lain, meskipun belanjawan kali ini dihebahkan sebagai belanjawan yang prihatin rakyat, namun hakikatnya hanya 4.3 peratus peningkatan diberikan kepada sektor kesihatan.

Bahagian penting kesihatan seperti perubatan am dipotong sebanyak 14.28%, perubatan respiratori dipotong 10.46% manakala farmasi dan perbekalan pula dipotong sebanyak 73.58% berbanding peruntukan tahun 2020 yang diberikan oleh kerajaan PH.

Ironinya, dalam situasi pandemik, sektor kesihatan hanya menerima kenaikan yang sedikit sedangkan ia sangat memerlukan peruntukan yang besar dalam mengekang wabak. Walhal pada masa yang sama, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM81 juta kepada agensi propaganda Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa)!

Apa signifikannya peruntukan sebesar itu untuk sebuah agensi yang diketahui umum menjadi instrumen propaganda politik? Menteri penerangan mengatakan ia berfungsi untuk menyebarkan maklumat mengenai pandemik. Janganlah kerajaan berkelakuan ibarat ‘sungguh kawat yang dibentuk, ikan ditebat yang diadang’. Penuh muslihat dan mengelirukan rakyat dengan maklumat yang tidak tepat.

Oleh yang demikian, jangan disalahkan sesiapa jika belanjawan 2021 yang penuh kekeliruan ini ditolak oleh ahli-ahli parlimen. Tiada salahnya pun. Bukankah itu tanda parlimen kita masih berfungsi?


SHEIKH UMAR BAGHARIB Ali ialah Adun Paloh merangkap ketua Pemuda dan setiausaha publisiti DAP Johor.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS