Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
IGP: Unit Senoi Praaq ada reputasi cemerlang, digeruni penyeludup

Kehandalan, ketangkasan dan kecekapan Orang Asli dalam ilmu perhutanan menjadikan masyarakat itu sebagai pilihan utama untuk diserapkan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai anggota unit Senoi Praaq, Pasukan Gerakan Am (PGA).

Pasukan berkenaan diasaskan oleh Ketua Jabatan Orang Asli Richard Noone pada Mei 1956 dengan kekuatan seramai 10 Orang Asli bertujuan menghapuskan ancaman komunis dalam kalangan masyarakat itu di hutan.

Kini, unit yang diletakkan di bawah PGA, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) itu masih berfungsi mengekalkan keamanan negara, dan menghindari ancaman musuh terutamanya di hutan, di samping terlibat dalam misi mencari dan menyelamat di kawasan itu.

Setelah lebih 60 tahun ditubuhkan, Senoi Praaq kembali menjadi perhatian ramai apabila unit itu turut dilibatkan dalam misi pencarian seorang remaja perempuan warga Ireland, Nora Anne Quoirin yang hilang di Negeri Sembilan pada Ogos tahun lepas.

Unit itu digunakan untuk menjejak dan mengesan remaja berkenaan selain digunakan bagi mengesan pemburu haram yang merosakkan flora dan fauna pada Oktober tahun lepas.

Unit Senoi Praaq dilatih dengan ilmu pertempuran dan taktik serangan pantas menjadikan ia dianggap legenda kerana kepakaran mengesan dan memburu pengganas komunis (PKM) sehingga jauh ke dalam hutan-hutan tebal hingga ke sempadan negara Thailand.

Selain itu, mereka ini amat pakar dalam mengenal pasti denai-denai di hutan dan mahir mengesan jerangkap samar yang dipasang musuh.

Perkara itu diakui sendiri oleh Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador, yang mengakui Senoi Praaq mempunyai reputasi yang cemerlang dan baik serta digeruni dalam kalangan penyeludup di sempadan negara, kerana mereka ini amanah dan berintegriti tinggi semasa menjalankan tugas.

Dia berkata demikian pada sidang media khas berhubung insiden di sempadan Malaysia-Thailand awal pagi ini, yang menyaksikan salah seorang daripada anggota Senoi Praaq, Kpl Baharuddin Ramli, 54, dari suku kaum Semelai, terkorban, selepas kejadian berbalas tembak dengan sekumpulan penyeludup semasa melakukan tinjauan dan risikan di kawasan berkenaan.

Rakan setugasnya Kpl Norihan a/l Tari cedera parah dalam kejadian itu, dan kini dirawat di Hospital Tuanku Fauziah, Kangar.

-Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS