Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Draf RUU Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen telah siap
Diterbitkan:  Nov 24, 2020 5:08 PM
Dikemaskini: 9:08 AM

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan berkata draf mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Perkhidmatan Parlimen telah disiapkan.

"Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, draf Rang Undang-undang Perkhidmatan Parlimen telah disediakan. 

"Kerajaan sedang menghalusi dan mengkaji penubuhan Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen Malaysia," katanya ketika menjawab soalan Nga Kor Ming (PH-Teluk Intan).

Takiyuddin bagaimanapun tidak menjawab secara langsung pertanyaan Nga mengenai bilakah kerajaan akan membentangkan Akta Suruhanjaya Perkhidmatan Parlimen.

RUU tersebut bertujuan agar parlimen tidak lagi diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri selaras prinsip pemisahan kuasa dan menjadikan parlimen sebuah insitusi bebas.

Untuk rekod, Akta Perkhidmatan Parlimen 1963 (PSA) yang dimansuhkan pada 1992 membolehkan parlimen mempunyai perbelanjaan sendiri dan menggaji kakitangannya.

Pada tahun 2005, anggota parlimen dari kedua-dua belah pihak meminta agar rang undang-undang itu dikembalikan walaupun berbeza ideologi politik.

Kerajaan berusaha mengembalikan semula Rang Undang-Undang Perkhidmatan Parlimen seawal tahun 2015.

Setelah Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum (PRU) pada tahun 2018, ia berjanji mengembalikan semula rang undang-undang tersebut.

Pada Jan, Nga yang merupakan timbalan speaker Dewan Rakyat ketika itu, berkata kerajaan akan membentangkan rang undang-undang tersebut pada Mac.

Bagaimanapun kerajaan PH tumbang apabila Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin membawa parti itu keluar daripada PH dan seterusnya menubuhkan kerajaan baru pada Mac lalu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS