Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita

Seorang remaja berusia 13 tahun ditemui meninggal dunia akibat lemas dipercayai tergelincir ketika sedang mandi bersama dua rakannya di tali air Kampung Telaga Bata, Sering, Kota Bharu, hari ini.

Mangsa, Muhamad Alif Asyraf Parudin yang juga anak tunggal sepasang suami isteri ditemui anggota Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa yang bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima panggilan daripada orang awam.

Waris mangsa, Ab' Ilah Ismail, 65, berkata dia menyedari kejadian itu sebaik dimaklumkan oleh ibu mangsa, Sarifah Mohamad, 52, kira-kira jam 10 pagi.

"Saya bergegas ke tempat kejadian dan mendapati pasukan bomba sedang mencari cucu sedara saya. 

"Dalam 15 minit kemudian cucu saudara saya ditemui dan sudah meninggal dunia," katanya ketika ditemui media di rumahnya di Kota Bharu.

Ab' Ilah berkata mangsa ke tali air itu kira-kira jam 9 pagi selepas memaklumkan kepada ibunya untuk mandi bersama rakan karibnya.

Katanya, Sarifah memang tidak pernah membenar anaknya bermain air walaupun dirayu beberapa kali kerana bimbang dengan keselamatan remaja terbabit, lebih-lebih lagi kerana dia tidak pandai berenang.

"Muhamad Alif belajar di Sekolah Menengah Agama Tharbiyah Mardhiah, Panchor dan merupakan pelajar tahfiz ," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Chepa, Mohd Fakri Mazlan berkata, enam anggota bergegas ke lokasi kejadian bagi operasi mencari dan menyelamat sebaik menerima panggilan kecemasan pada jam 10.08 pagi.

"Mangsa ditemui pukul 10.43 pagi. Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, ACP Abdul Rahim Daud mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu, untuk bedah siasat dan setakat ini kes diklafikasikan sebagai mati mengejut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS