Air di beberapa sungai di Kelantan dilaporkan naik dan semakin menghampiri paras amaran berikutan hujan lebat berpanjangan di sejak semalam.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Md Salleh Sarbini, berkata tinjauan pihaknya mendapati paras air sungai bertambah kerana taburan air hujan yang tinggi di kawasan terbabit.
"Berdasarkan rekod yang ada, paras air Sungai Kampung Lembaga mencapai tahap amaran pada bacaan 85.6 meter, manakala Sungai Kuala Krai ialah 22.5 meter, diikuti Sungai Pergau, 73 meter.
"Jika hujan turun secara berterusan kemungkin banjir boleh berlaku jika air melebihi tebing sungai. Justeru, semua penduduk terutama di kawasan berdekatan sungai harus berwaspada dan sentiasa peka dengan paras air di kawasan masing-masing," katanya kepada media ketika dihubungi hari ini.
Mengikut laporan infobanjir.water.gov.my, setakat jam 10 pagi tadi, tiga sungai melepasi paras waspada iaitu Sungai Kampung Lembaga di Gua Musang, dengan catatan paras air 84.45 meter, Sungai Kuala Krai 20.14 meter dan Sungai Pergau di Air Bol, Jeli, menunjukkan bacaan 72 meter.
Sementara itu Md Salleh berkata, penduduk di kawasan terbabit diminta mengambil langkah berjaga-jaga bagi berdepan kemungkinan banjir melanda.
Menurutnya, JBPM sentiasa bersedia menghadapi musim tengkujuh dari segi fizikal dan mental selain menyiapkan segala persiapan logistik lebih awal bagi melancarkan tugas setiap anggota di balai yang terbabit dengan banjir.
"Selain itu, langkah awal seperti mengemas rumah serta dokumen penting atau berpindah ke pusat pemindahan sementara lebih awal perlu dilakukan bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini berlaku.
"Tambahan pula, negara kini sedang berhadapan dengan pandemik Covid-19 yang memerlukan JBPM bertugas dalam norma baru, namun ia tidak mematahkan semangat anggota untuk terus memberi khidmat cemerlang.
"Saya juga sentiasa mengingatkan anggota supaya berhati-hati menjalankan tugas termasuk mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan sepanjang bertugas ketika banjir," katanya.