Anggota Parlimen BN konsisten menyokong Belanjawan 2021 yang dijangka melalui proses undian pada Khamis ini hanya jika dua permohonan utama gabungan itu diluluskan.
Malah, Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan berkata Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz mempunyai masa sehingga Khamis ini untuk mempertimbangkan permohonan tersebut.
“(Belanjawan 2021) juga dibincangkan dan mengenai Belanjawan tentunya kita masih lagi menyatakan bahawa kita menyokong belanjawan dan sokongan kita juga meminta agar dua permohonan utama akan diluluskan dan kita ada sehingga Khamis ini untuk pertimbangan menteri kewangan.
"Dan kami berharap dua permohonan itu akan dinyatakan dalam penggulungan (perbahasan peringkat dasar) oleh menteri kewangan pada hari Khamis ini,” katanya kepada pemberita di lobi Menara Dato Onn, Kuala Lumpur, hari ini.
Ahmad Maslan tidak menyebut perincian dua permohonan utama BN itu.
Bagaimanapun dia dipercayai merujuk kenyataan Pengerusi Kelab Penyokong BN Najib Razak yang berulang kali menegaskan, BN hanya akan menyokong belanjawan sekiranya terdapat lanjutan moratorium pinjaman dan kebenaran individu mengeluarkan sehingga RM10,000 dari Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Terdahulu hari ini, Ahmad yang juga anggota parlimen Pontian hadir dalam mesyuarat menteri-menteri BN bersama Presiden Umno, Dr Ahmad Zahid Hamidi yang bermula sekitar jam 5 petang.
Mesyuarat yang berlangsung sehingga malam ini menjadi perhatian di saat ada anggota parlimen Umno yang tidak berpuas hati dengan belanjawan.
Pengerusi Lembaga Penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah sebelum ini dilaporkan berkata anggota parlimen patut diberi kebebasan sama ada untuk menyokong, menolak atau berkecuali ketika undian nanti, berbeza dengan undian berdasarkan parti yang menjadi kelaziman.
Selain itu, mesyuarat malam ini juga berlangsung pada saat berlakunya perselisihan dalam Umno apabila beberapa pemimpin parti menyerang Setiausaha Agung BN Annuar Musa dalam soal hubungan antara parti itu dengan Bersatu.
Antaranya, Timbalan Pengerusi Umno Johor, Nur Jazlan Mohamed yang menempelak Annuar semalam, berkata akar umbi Umno sudah muak dengan MP Ketereh yang seolah telah menjadi seperti jurucakap Bersatu.
Dalam perkembangan lain, Ahmad Maslan juga berkata mesyuarat Majlis Presiden BN hari ini memutuskan menteri-menteri BN perlu mengadakan pertemuan empat mata bersama presiden Umno setiap dua minggu sekali.
"Kita akan mengadakan mesyuarat bersama menteri dan presiden ini dua minggu sekali, dan itu adalah keputusan yang dibuat sebentar tadi bahawa setiap dua minggu sekali menteri dan presiden dan saya akan bertemu dengan menteri menteri BN untuk kita berbincang tentang dasar-dasar kerajaan yang boleh diberikan input oleh parti parti kepada menteri BN," katanya.