Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PKPD di Kuarters, Penjara Seremban mulai esok
Diterbitkan:  Nov 23, 2020 5:47 PM
Dikemaskini: 10:41 AM

Penjara Seremban dan Kuarters Penjara Seremban menjadi kawasan terbaharu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama 14 hari mulai esok (24 Nov) hingga 7 Dis ini.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pelaksanaan PKPD itu akan meliputi keseluruhan kawasan Penjara Seremban termasuk blok penjara, bangunan pentadbiran serta kuarters pegawai dan kakitangan yang melibatkan 2,080 penghuni.

"Kementerian Kesihatan (KKM) telah melaksanakan 246 ujian saringan bersasar dan sebanyak 25 kes positif Covid-19 direkodkan di penjara ini

"Justeru, keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian risiko dan atas nasihat KKM,” katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan PKP Pemulihan (PKPP) di Kuala Lumpur hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata PKPD yang sebelum ini dikenakan di Kuching, Sarawak; Kampung Sabah Baru, Lahad Datu, Sabah; dan Putra Point Nilai, masing-masing dilanjutkan sehingga 27 Nov, 7 Dis dan 30 Nov depan.

Beliau berkata PKPD di Kuching yang bermula 9 Nov dan sepatutnya berakhir semalam, dilanjutkan berikutan terdapat baki 58 kes aktif melibatkan beberapa kluster di daerah itu daripada 1,055 kes kumulatif positif Covid-19 yang dikesan setakat ini.

Di Kampung Sabah Baru, yang sebelum ini dikenakan PKPD sejak 10 Nov lalu sehingga esok, pula dilanjutkan berikutan terdapat 200 kes positif Covid-19 hasil 1,914 ujian saringan yang dilakukan sehingga 15 Nov.

Bagi PKPD di Putra Point Nilai, sebanyak 436 ujian saringan dilaksana dan 314 kes positif Covid-19 direkodkan di lokaliti itu setakat ini. Ujian saringan kedua dilakukan hari ini dan pelanjutan tempoh itu adalah untuk menunggu semua keputusan sampel saringan kedua diperoleh, katanya.

Untuk rekod Putra Point Nilai sebelum ini dikenakan PKPD bermula 28 Okt lalu dan sepatutnya berakhir esok.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS