Ketua pembangkang, Anwar Ibrahim mempersoalkan had masa 20 minit bagi sesi soal jawab menteri dalam sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan 2021).
Ini selepas Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun memaklumkan setiap menteri hanya mempunyai masa 20 minit untuk menjawab soalan yang diajukan kepada kementerian masing-masing.
Anwar (PH-Port Dickson) berkata dia meminta had masa dilanjutkan dan mencadangkan peraturan yang hanya membenarkan 80 anggota parlimen berada dalam dewan ditarik balik.
"Menteri beri penjelasan, terima kasih. Tapi Ini bukan nak dengar kuliah menteri. Parlimen ini tempat perbahasan. Kalau kita tak benarkan masuk, tunggu dia baca executive summary 20 minit, kemudian baca teks, tak payah jadi ahli parlimen.
"Tuan speaker saya percaya faham peranan parlimen terutama masa jawapan menteri - membahas, mencelah, mempertikai, mempersoal. Ini tidak mungkin berlaku dalam masa 20 minit.
"Beri kelonggaran sedikit supaya lebih daripada 80 (anggota parlimen) boleh masuk (ke dewan) dan waktu untuk menteri ditambah supaya ada pencelahan.
"Kalau tidak, parlimen does'nt work in this manner (tidak berfungsi dengan cara ini).
"Menteri beri jawapan executive, no questions asked, no time dan kemudian yang lain boleh baca di rumah. This is not the spirit (Ini bukan semangat) yang patut dihormati oleh parlimen ," tegasnya.
Beberapa anggota parlimen pembangkang menyatakan sokongan terhadap Anwar dan menggesa Azhar mempertimbangkan kembali peraturan tersebut.
Tidak lama kemudian Azhar berkata dia akan memanggil sekali lagi ketua dan whip parti untuk membincangkan perkara itu.
Dia juga bertanya mengapa permintaan itu tidak disampaikan kepadanya sebelum sidang hari ini.
Bagaimanapun, Speaker menegaskan ucapan penggulungan membabitkan menteri di Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Kerja Raya hari ini akan diteruskan seperti yang dijadualkan.
Pada kebiasaannya kementerian mengambil masa sekitar satu jam untuk menyampaikan ucapan penggulungan penuh.
Bekas menteri kesihatan pertikai alasan
Semasa perbahasan, Menteri Undang-Undang Takiyuddin Hassan mempertahankan format baru dengan mengatakan perlunya sidang parlimen dipendekkan berdasarkan nasihat Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah.
Takiyuddin berkata semua teks ucapan penggulungan akan dimuat naik dengan segera ke laman web parlimen dan dimasukkan ke dalam hansard Dewan Rakyat.
Bagaimanapun Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) mempertikaikan peraturan berkenaan memandangkan langkah berjaga-jaga bagi mencegah Covid-19 telah diambil.
Bekas menteri kesihatan itu berkata semua anggota Parlimen sudah menjalani saringan Covid-19 menerusi ujian RT-PCR setiap dua minggu.
Selain dewan dibersihkan secara berkala, anggota parlimen juga duduk menjauhi antara satu sama lain, manakala setiap daripada mereka dipisahkan dengan skrin plastik.
"Menteri bercakap dalam jarak jauh dalam satu dewan yang telah pun disanitasi." Saya mempertikaikan kenapa kita dikekang, seorang menteri hanya diberikan 20 minit. Ia tak berpandukan Sains dan evidence based medicine," katanya.
Teo Nie Ching (PH-Kulai) juga mempersoalkan alasan di sebalik had masa dan tempoh sidang parlimen yang dipendekkan.
"Rakyat jelata di luar mereka bekerja berapa jam? Kalau mereka boleh kerja 8 jam kenapa ahli parlimen tak boleh. Kita sepatutnya yang berkhidmat
"Kita datang sini kerja empat jam dan dapat elaun untuk sepanjang hari. Saya rasa ini satu contoh yang sangat buruk," katanya.