Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ku Li tak sertai perbahasan Belanjawan 2021, persoal keabsahan Muhyiddin
Diterbitkan:  Nov 22, 2020 9:26 PM
Dikemaskini: 1:44 PM

Tokoh veteran Umno Tengku Razaleigh Hamzah tidak akan turut serta dalam perbahasan Belanjawan 2021 selagi Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun tidak membenarkan keabsahan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dibuktikan.

Dia yang juga ahli Parlimen Gua Musang meyampaikan hasrat itu kepada Azhar menerusi sepucuk surat bertarikh 19 Nov, yang antara lain mengkritik keengganan Azhar membenarkan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin.

"Memandangkan keabsahan kerajaan belum ditentukan, saya terikat dengan nurani dan sumpah saya dan maka tidak dapat turut serta dalam perbahasan belanjawan," kata Ku Li dalam surat itu.

Dia turut memberi peringatan berkenaan "rasuah politik" dalam usaha membantu kerajaan untuk terus berpaut kepada kuasa.

"Untuk turut serta dalam Dewan Rakyat dalam soal belanjawan tanpa terlebih dahulu menunjukkan keabsahan perdana menteri dan menterinya, adalah untuk menjejaskan satu prinsip penting Perlembagaan yang akan membawa kesan serius kepada usaha menegakkan Perlembagaan kita, kedaulatan undang-undang dan kemungkinan amalan 'rasuah politik' untuk mengekalkan kuasa...

"Pada pandangan saya, 'rasuah politik' boleh disifatkan sebagai 'duri dalam daging' yang akan memusnahkan sistem demokrasi berdasarkan perlembagaan dari dalam.

"Pandangan umum adalah 'rasuah politik' dan wang memusnahkan jiwa negara dan sistem politik kita," katanya.

Azhar Harun

Surat itu adalah respons kepada kenyataan Azhar bulan lalu bahawa dia tidak boleh membenarkan usul undi tidak percaya terhadap kerajaan mendahului usul yang dibawa kerajaan.

Kenyataan itu selepas Tengku Razaleigh menghantar surat kepadanya, bertarikh 25 Sept, untuk menggesa Azhar membenarkan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin dibahaskan di Dewan Rakyat.

Dalam responsnya, Azhar turut mencadangkan agar Tengku Razaleigh berunding dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Takiyuddin Hassan agar usul tersebut dibentangkan.

Dalam surat terbarunya, Tengku Razaleigh menyangkal cadangan itu.

"Pada pandangan saya, menteri undang-undang tiada apa-apa peranan dalam menentukan sama ada usul undi tidak percaya boleh dibentang atau tidak.

"Cadangan bahawa perkara sepenting itu tertakluk kepada persetujuan menteri tidak selari dengan Perlembagaan dan pelanggaran serius terhadap autonomi dan kebebasan Dewan Rakyat daripada sebarang bentuk kawalan eksekutif," katanya.

Dalam surat itu, Tengku Razaleigh tidak membayangkan sama ada dia akan menyertai undian belanjawan atau tidak, walaupun tidak akan menyertai perbahasannya.

Muhyiddin Yassin

Bagaimanapun gesaannya terhadap usul undi tidak percaya terhadap sebuah kerajaan yang cuba mengelaknya bukanlah sesuatu yang baik untuk Muhyiddin.

Pada masa ini, presiden Bersatu itu mempunyai sokongan 112 daripada 222 ahli Parlimen.

Namun hanya ada 220 ahli Parlimen pada masa ini, berikutan kematian seorang ahli Parlimen kerajaan dan seorang ahli Parlimen pembangkang.

Tanpa sokongan Tengku Razaleigh, jumlah sokongan yang dimiliki Muhyiddin tinggal 111 orang.

Pada masa sama, sejumlah ahli Parlimen Umno - yang merupakan sebahagian daripada kerajaan PN - turut mengkritik Belanjawan 2021 dan membayangkan tidak semestinya akan menyokongnya.

Pengundian Belanjawan 2021 akan berlangsung paling awal pada 26 Nov ini.

Jika semua ahli Parlimen hadir dan undian dibuat berdasarkan parti, kehilangan sokongan dua ahli Parlimen kerajaan sudah cukup untuk menggagalkan Belanjawan 2021.

Undian itu juga amat penting buat Muhyiddin kerana ia juga boleh dikira sebagai "undi percaya" terhadapnya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS