Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Annuar perlu berhenti dahului presiden soal dasar dan taktikal'
Diterbitkan:  Nov 22, 2020 6:19 PM
Dikemaskini: 10:19 AM

Seorang lagi pemimpin Umno mengkritik Setiausaha Agung BN Annuar Musa, susulan kenyataannya berkenaan kedudukan Umno dalam Perikatan Nasional (PN) baru-baru ini.

Dalam wawancara yang disiarkan laman Facebook Umno Online dua hari lalu, Annuar berkata parti itu terperangkap dalam superiority complex (kompleks tinggi diri) dan lupa ia tewas dalam PRU lalu.

Kenyataan Annuar itu berkaitan tanggapan Umno tidak dilayan dengan baik dalam kerajaan.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) Umno Puad Zarkashi hari ini mempersoalkan Annuar yang menurutnya bertindak seolah-olah sebagai jurucakap Bersatu.

"Annuar menjadikan Umno terlalu defensif, macam bad boy. Kenapa perlu jadi jurucakap parti lain?" soalnya menerusi hantaran di Facebook.

Puad juga mengulas kenyataan Annuar berkenaan kekalahan Umno pada PRU14, dengan mengatakan Umno kekal memegang kerusi Parlimen paling banyak.

"Cuma Umno gagal cari rakan yang cukup untuk membentuk kerajaan.

"Bersatu menang 13 kerusi saja tapi bersama DAP, PKR, Warisan dan Amanah, berjaya tubuh kerajaan PH," kata bekas ahli Parlimen Batu Pahat itu.

ANUAR MUSA: THE SOLE NEGOTIATOR? Saya mendengar temubual Annuar yang terbaru 2-3 kali. Ada perkara yang pelu diulas....

Posted by DrPuad Zarkashi on Sabtu, 21 November 2020

Katanya, kerajaan PN yang lahir selepas itu adalah gabungan baru yang diwujudkan bersama, dan tidak timbul "siapa menang, siapa kalah".

"Sebagai dukungan baru ia mesti dikongsi dengan cara baru. Itu yang presiden Umno sebut di Dewan Rakyat, tak timbul 'siapa berbudi, siapa terhutang budi'," katanya lagi.

Ketika berbahas di Dewan Rakyat pada 19 Nov lalu, Ahmad Zahid Hamidi menggesa usul percaya terhadap Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dibenarkan.

Puad juga menyangkal kenyataan Annuar bahawa dia bertindak sebagai "perunding tunggal" untuk Umno ketika PRN Sabah.

"Kalau begitu, apakah Annuar mengaku dia gagal sebagai perunding Umno?

"Mana tidaknya, lapan kerusi yang Bersatu menang itu adalah kerusi yang mereka menang atas tiket Umno pada PRU14. Kenapa semua kerusi itu terlepas kepada Bersatu? Itu punca masalah."

Annuar Musa

Dia juga mengecam Annuar kerana menurutnya berdiam diri ketika Muhyiddin menamakan Hajiji Noor sebagai calon ketua menteri.

"Siapa yang tidak ada kejujuran politik? Sebenarnya jangan disembunyikan semua fakta dan fakta sebenar. Presiden lebih mengetahui.

"Sebab itu jangan mendahului presiden dalam isu dasar dan taktikal. Dan jangan jadi ketua penerangan kepada parti lain," katanya.

Terdahulu hari ini, seorang lagi pemimpin Umno, Nur Jazlan Mohamed, juga dari Johor, mengecam Annuar atas isu yang sama.

Dia mendakwa akar umbi Umno sudah muak dengan Annuar dan menurutnya itulah sebabnya Ahmad Maslan menggantikannya sebagai setiausaha agung Umno.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS