Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penganalisis: Tiada keperluan gabungan besar politik

Penganalisis politik berpendapat cadangan Setiausaha Agung BN, Annuar Musa, supaya diwujudkan gabungan politik besar dilihat tiada keperluan dan tidak sesuai.

Prof Emeritus Dr Abdul Rahman Embong (gambar, judul) berkata gabungan besar politik itu hanya untuk mendapatkan dan mengekal kuasa, sebaliknya bukan untuk muhasabah diri melakukan reformasi parti, menghapuskan rasuah, membangun integriti dan memelihara hubungan yang tidak terpisah dari rakyat.

"Cadangan ini menunjukkan ada pimpinan Umno yang masih belum belajar daripada pengalaman lampau bagaimana keseronokan kuasa menyebabkan mereka lalai dan terpisah dari memperjuangkan kepentingan rakyat.

"Cadangan ini juga tidak akan mengatasi perebutan kuasa antara pelbagai parti dan hanya akan meneruskan politiking.

"Mereka sebelum ini sudah ada pakatan besar terdiri daripada belasan parti dalam BN, tapi apakah gabungan itu padu bila hilang kuasa," soalnya kepada Malaysiakini, hari ini.

Terdahulu, Annuar mencadangkan pembentukan gabungan politik besar (grand coalition) membabitkan parti-parti politik yang menolak Pakatan Harapan (PH).

Katanya, sudah terlalu lama politik negara berlegar di sekeliling dua tiga personaliti bagi mempertahan atau menentang individu tertentu.

Abdul Rahman berkata gabungan besar pelbagai parti dengan masing-masing ingin memperoleh kuasa bukanlah jalan terbaik untuk masa depan Malaysia.

"Apa yang perlu ialah satu kesedaran dan wawasan baru bersama program bertindak yang baru boleh membawa rakyat berbilang kaum ke arah masa depan yang lebih baik.

"Ia memerlukan peremajaan barisan kepimpinan dengan idea baru sesuai dengan perubahan zaman, perubahan demografi dan cabaran antarabangsa," katanya yang juga ketua kluster kesepaduan sosial dan perpaduan nasional Akademi Profesor Malaysia.

Bagi Pensyarah Kanan Sekolah Perdana Universiti Teknologi Malaysia, Dr Mazlan Ali (gambar, bawah), cadangan Annuar itu tidak akan mendapat sambutan daripada Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), parti Muda dan Warisan.

Malah katanya, Umno sendiri tidak akan berminat dengan cadangan Annuar itu kerana dilema yang dihadapi parti itu ialah Bersatu yang menjadi saingan sebenar terhadap survival Umno itu sendiri.

"Umno bimbang melihat kemaraan Bersatu dan kehilangan kuasa kepada Bersatu setelah 27 tahun berkuasa di Sabah memberi kesan trauma kepada parti tersebut. Dalam sehari dua ini, pemimpin-pemimpin Umno juga menunjukkan sikap agak kritikal terhadap kerajaan Perikatan Nasional.

"Pejuang yang dipimpin Dr Mahathir Mohamad tidak akan bergabung dalam PN kerana konsisten menentang sebarang kerjasama dengan parti yang mempunyai banyak pemimpin yang mempunyai kes mahkamah seperti Umno," katanya.

Umno pecah beberapa fraksi

Tambah Mazlan, Muda dan Warisan pula lebih cenderung dengan DNA Pakatan Harapan yang bersifat rentas kaum dan anti perkauman.

"Sudah pasti idea-idea penyatuan politik besar oleh Annuar tidak mampu menarik minat kedua-dua parti ini.

"Selain itu, Umno sendiri sudah terpecah kepada beberapa fraksi. Annuar adalah pemimpin yang lebih proPN, tetapi terdapat beberapa pemimpin Umno yang kelihatan berbeza kiblat politik dengan melihat Bersatu sebagai ancaman.

"Banyak komen-komen negatif dilontarkan oleh pemimpin kanan Umno seperti Mohamad Hasan, Tengku Razaleigh Hamzah, Khalid Nordin, Puad Zakarshi dan seangkatnya. Ini pasti merencatkan cadangan Annuar tersebut," ujarnya.

Sementara itu penganalisis dari Universiti Utara Malaysia, Prof Dr Rusdi Omar pula berpendapat, dalam keadaan sekarang agak sukar cadangan itu dilaksanakan kerana pemimpin-pemimpin parti politik masih berfikir dan bertindak dalam ruang lingkup parti masing-masing.

"Ia akan menjadikan situasi lebih menjadi huru-hara kerana tiada persefahaman dan hilang kepercayaan antara satu sama lain.

"Tiga parti utama dalam kerajaan masih bermain tarik tali dan tiada persefahaman antara mereka terutama yang melibatkan Umno, Bersatu dan PAS.

"Idea nak wujudkan koalisi gabungan besar parti politik ini bagus cuma saya fikir dalam keadaan sekarang agak sukar," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS