mk-logo
Berita
Alamat tak lengkap sulitkan undi pos PRK Batu Sapi, maklum Istana Negara
Diterbitkan:  Nov 18, 2020 6:41 PM
Dikemaskini: 10:41 AM

Menjelang pilihan raya kecil (PRK) Batu Sapi, pelbagai kumpulan seperti NGO pemantau pilihan raya Bersih telah mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya untuk memperluas kemudahan pengundian pos kepada semua rakyat Malaysia agar pilihan raya dapat berjalan dengan selamat di tengah-tengah wabak Covid-19.

Bagaimanapun, Istana Negara hari ini mengatakan data SPR menunjukkan bahawa hampir separuh pengundi Batu Sapi mempunyai alamat yang tidak lengkap, yang akan menyulitkan langkah tersebut.

"Berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, jumlah pemilih berdaftar P.185 Batu Sapi adalah 32,962 orang dan sejumlah 3,170 orang daripadanya beralamat di luar bahagian Parlimen ini, termasuk di Semenanjung dan Sarawak.

"Di samping itu, dianggarkan sejumlah 16,000 pemilih beralamat umum, iaitu tiada nombor rumah, dan akan menyukarkan pelaksanaan Undi Pos,” maklum Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Ahmad Fadil Shamsuddin pada satu kenyataan.

Beliau berkata perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk pengisytiharan darurat juga dibuat selepas "mengambil kira jumlah pemilih berdaftar yang tinggal di luar bahagian P185 Batu Sapi yang dijangka akan merentas daerah dan negeri untuk pulang mengundi."

Dengan pengisytiharan darurat ini, PRK Batu Sapi ditunda ke suatu tarikh lain kelak.

Penamaan calon PRK Batu Sapi pada awalnya dijadual berlangsung Isnin minggu depan manakala hari mengundi pada 5 Disember.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS