Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Syed Saddiq: Kenakan cukai durian runtuh pada syarikat sarung tangan getah

PARLIMEN | Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mencadangkan kerajaan supaya mengenakan "cukai durian runtuh" terhadap syarikat sarung tangan getah gergasi di negara ini yang mengaut keuntungan luar biasa ketika pandemik Covid-19.

Tanpa menyebut nama syarikat tertentu, bekas menteri belia dan sukan itu berkata kerajaan perlu berani berdepan syarikat gergasi seumpamanya bagi memungut cukai terbabit untuk dimanfaatkan kepada rakyat dalam tempoh sukar ini.

Jelasnya, jika kerajaan mengutip cukai berkenaan daripada syarikat gergasi yang meraih keuntungan luar biasa, ia dijangka mampu memperoleh sekitar RM4.8 bilion.

"Cuukai durian runtuh, kerajaan perlu berani berdepan dengan syarikat gergasi ini supaya rakyat dapat manfaat.

"Khususnya syarikat yang buat sarung tangan getah di negara ini yang buat untung besar pada musim Covid-19.

"Cukai ini akan dapat manfaat kira-kira RM4.8 bilion, boleh beli vaksin Covid-19. Mereka meraih untung luar biasa dalam situasi ketika ini," katanya ketika berbahas di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam pada itu, Syed Saddiq yang juga pengasas Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda Malaysia) mempersoal tindakan kerajaan menarik peruntukan di kawasan pembangkang ketika situasi negara berdepan Covid-19.

Katanya, sebelum ini tidak timbul isu berkenaan ketika PH membentuk kerajaan, negeri pembangkang ketika itu seperti Kelantan dan Terengganu turut menerima peruntukan.

“Sebelum ini ketika membentuk kerajaan, Kelantan dan Terengganu ditadbir PAS, RM400 juta diperuntukan secara terus kepada kerajaan negeri Kelantan.

“Di Terenggganu, RM1.3 bilion diperuntukkan walaupun sebahagian besar ia diperuntukan di kawasan PAS tetapi ia tidak bantah kerana hak mereka yang dipilih rakyat.

“Persoalannya, jika sebelum ini boleh dipraktikkan, kenapa di kawasan pembangkang rakyat terus kekal sengsara apabila hak mereka ditarik semula,” katanya lagi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS