Karya ciplak dengan ayat tunggang-langgang boleh menang anugerah?
Perkara ini dibangkitkan oleh warga maya terhadap tulisan Mejar (B) Mohammad Qayyum A Badaruddin, pemenang Anugerah Buku Negara 2019.
Bagaimanapun, pemilik Casamas Resources Sdn Bhd menepis dakwaan itu, walaupun mengakui “tidak memberi kredit” dan menggunakan ayat tidak teratur.
“Saya tidak melihat karya saya sebagai satu isu plagiat. Itu persepsi orang.
“Hanya beberapa orang sahaja yang baca buku saya dan menganggap ia karya plagiat.
“Yang lain cuma memberi respons sahaja,” katanya yang telah menulis 154 buku berkaitan motivasi dan isu semasa.
Dia bagaimanapun berkata telah pun menarik balik buku bertajuk Dekad Membaca dan menawarkan pemulangan wang susulan penggunaan ayat yang tunggang-langgang.
“Saya mengaku silap saya (bab) itu. Dan saya akan betulkan dalam edisi yang baru,” katanya.
Tentang isu terjemahan menggunakan Google Translate, Mohammad Qayyum berkata perkara itu dilakukan kerana mengejar masa pelancaran.
“Sebab mungkin tergesa-gesa, saya dah betulkan tapi dia balik kepada yang asal (versi sebelum diperbetulkan).
“Mungkin saya terlepas pandang,” katanya.
Gelaran Penerbit Prolifik 2019 dianugerahkan oleh Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) atas usaha Casamas Resources menerbitkan karya paling banyak sepanjang 2018.
Yayasan Pembangunan Buku Negara, penganjur utama Anugerah Buku Negara, adalah sebuah organisasi yang bermatlamat untuk membangunkan industri buku dan mengalakkan minat membaca.
Anugerah Buku Negara 2019 dirasmikan oleh menteri Wilayah Persekutuan ketika itu, Khalid Samad (bawah) pada 1 April di Kuala Lumpur.
Bagaimanapun baru-baru ini warga maya membangkitkan dakwaan ciplak itu dan mengecamnya sebagai menjatuhkan integriti dunia penulisan negara.
Mereka antaranya berkongsi kandungan buku Dekad Membaca yang mempunyai kesalahan ayat yang ketara. Mohammad Qayyum juga didakwa menciplak pelbagai artikel di Internet.
Bukunya dalam bahasa Inggeris Excellent Secretary (bawah) turut berdepan dakwaan sama.
Bagaimanapun, ketika dihubungi Malaysiakini kelmarin, Mohammad Qayyum menyifatkan dakwaan dan kritikan yang dilemparkan padanya itu sebagai “fitnah dan tidak beradab”.
“Peguam saya sedang meneliti tindakan selanjutnya yang saya harus ambil terhadap mereka yang memfitnah dan mengecam saya.
“Buat masa sekarang, saya masih belum nak saman lagi,” katanya.
Yayasan mohon maaf
Sementara itu, jurucakap Yayasan Pembangunan Buku Negara berkata mereka memohon maaf kerana tidak mengkaji terlebih dahulu karya yang dipilih dengan cermat.
“Nasihat YPBN kepada para penulis adalah untuk tidak menciplak karya orang lain dan setiap rujukan yang diambil haruslah diberikan penghargaan kepada penulis asal,” katanya.
YPBN bagaimanapun berpendapat usaha Mohammad Qayyum menerbitkan banyak buku patut disokong, lebih-lebih lagi apabila Kuala Lumpur dinobatkan sebagai Ibu Kota Buku Dunia 2020.
Ini juga seiring dengan sasaran negara untuk menerbitkan 31,700 judul buku menjelang 2020.