Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) merancang menjalankan siasatan terhadap 1BestariNet, sekali gus menjadikan kali kedua projek bernilai RM2.71 bilion itu diteliti dalam beberapa tahun terakhir.
Dilaksanakan oleh YTL Communications Sdn Bhd dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, 1BestariNet diharapkan dapat melengkapkan 10,000 sekolah dengan kemudahan internet 4G dan pembelajaran maya berkelajuan tinggi.
Dalam sidang media pagi ini, ketua PAC Wong Kah Woh mengatakan bahawa jawatankuasa telah dimaklumkan bahawa objektif projek tersebut masih belum tercapai.
"Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Pemerolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSUPKK) melaporkan dalam analisisnya mengenai kelemahan dan kecuaian dari segi tadbir urus yang menyebabkan objektif projek ini tidak tercapai," katanya di Kuala Lumpur.
Jawatankuasa ini secara khusus akan mengkaji apa yang berlaku antara 2011 dan 2019, di mana sejumlah RM2.71 bilion dibelanjakan.
Keseluruhan projek 15 tahun bernilai RM4.47 bilion dan kini dalam fasa ketiga, dengan tarikh pelaksanaan sepenuhnya ditetapkan pada tahun 2026.
Terdahulu pada tahun 2016, PAC telah menyiasat projek tersebut dan salah satu penemuannya adalah YTL telah membayar sewa jauh lebih rendah untuk tapak menara telekomunikasi berikutan "campur tangan" oleh menteri bagi pihak konglomerat.
Sementara itu PAC juga membuat keputusan untuk menjalankan prosiding terhadap pelaksanaan pertukaran tanah (land swap) dari tahun 1995 hingga 2018 di bawah Kementerian Pertahanan Malaysia.
Wong berkata, JKSTUPKK telah menjalankan siasatan terhadap 16 kes land swap yang melibatkan 2,932 ekar tanah kerajaan dengan nilai tanah berjumlah RM4.8 juta.
"PAC parlimen dimaklumkan antara isu dalam pelaksanaan kaedah ini adalah berkaitan dengan kerugian kerajaan akibat daripada kaedah penetapan nilai tanah balasan yang tidak konsisten serta pertimbangan politik melebihi kepentingan pertahanan," katanya.
Selain itu katanya, PAC juga akan mengadakan prosiding terhadap pelaksanaan sistem penguatkuasaan automatik (AES) dari 2012 hingga 2018 di bawah kementerian pengangkutan.
Katanya, projek AES adalah satu inisiatif sistem penguatkuasaan dalam menangani isu kemalangan jalan raya di negara ini.
"Siasata dibuat terhadap kewajaran Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) berjumlah RM555 juta terhadap mengambilalihan syarikat konsesi AES yang mana pelaburan asal syarikat itu hanya berjumlah RM40 juga," kata Wong.
Sehubungan itu tambahnya, PAC akan memulakan prosiding terhadap isu land swap dengan memanggil saksi pertama iaitu ketua setiausaha kementerian pertahanan selaku pegawai pengawal kementerian bagi memberi keterangan dan penjelasan pada 20 Nov depan.
"Selepas prosiding ini, PAC akan membuat keputusan sama ada untuk memanggil saksi-saksi lain yang terlibat dalam isu berkenaan.