Paling Popular
Terkini

Bekas Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Mokhtar Hashim meninggal dunia awal hari ini. Beliau berusia 78 tahun.

Perkara itu disahkan oleh anak saudaranya, Ahmad Hafiz Abdul Raffar menerusi satu hantaran Facebook.

Menurut Ahmad Hafiz, allahyarham meninggal dunia kira-kira jam 3.10 pagi.

“Bagi pihak keluarga, ingin saya maklumkam kepulangan ayahanda tercinta kami (Mokhtar) ke rahmatullah pada 3.10 pagi tadi.

“Urusan solat jenazah dan pengebumian akan dimaklumkan. Seterusnya mohon bersama-sama kita mendoakan agar roh beliau sentiasa dicucuri rahmat-Nya dan ditempatkan bersama hamba-hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh.

“Hanya lafaz takziah serta doa yang mampu diucapkan dari kejauhan buat ahli keluarga allahyarham,” katanya.

Difahamkan allahyarham meninggal dunia di Hospital Ampang.

Jenazah Allahyarham disolatkan di Masjid at-Taqwa Taman Tun Dr Ismail Kuala Lumpur dan dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

Mokhtar menyertai Umno pada 1967 dan dipilih menjadi Ahli Parlimen Rembau-Tampin menerusi pilihan raya kecil pada 1972.

Beliau seterusnya memenangi kerusi Parlimen Tampin pada Pilihan Raya Umum 1974 dan 1978.

Allahyarham dilantik sebagai Setiausaha Parlimen Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dari 1972 hingga 1974, Timbalan Menteri Pertanian dan Pembangunan Luar Bandar (1974-1976), Timbalan Menteri Pertahanan (1976), Timbalan Menteri Luar I (1977) serta Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan (1981-1983).

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS