Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
IGP selar mesej tular fitnah polis, Malaysiakini
Diterbitkan:  Nov 17, 2020 6:43 PM
Dikemaskini: 11:21 AM

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador menyelar pihak-pihak tertentu yang menyebarkan mesej fitnah terhadap polis dan portal Malaysiakini.

Hamid merujuk mesej tular yang mendakwa dia kecewa kerana pengawai-pegawainya dan dua pengarah Bukit Aman menerima rasuah daripada pengedar dadah dan tauke judi haram.

Katanya, mesej itu ditularkan dengan menokok tambah dan manipulasi kenyataan beliau yang disiarkan Malaysiakini semalam mengenai rombakan bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN).

"Tindakan tidak bertanggungjawab tersebut jelas sekali berniat jahat terhadap pegawai-pegawai PDRM yang ditohmahkan melalui berita palsu berkenaan.

"Malah ia turut memberi gambaran yang negatif terhadap portal Malaysiakini yang telah menyiarkan berita dengan tepat dan sahih, berpandukan kenyataan saya kepada media berhubung rombakan di dalam jabatan siasatan jenayah serta jabatan siasatan jenayah narkotik, setelah beberapa pegawai disyaki bersekongkol dengan sindiket jenayah," katanya.

Semalam, Hamid berkata jabatan pengurusan Bukit Aman telah membentuk sebuah jawatankuasa khas untuk menyaring semua polis yang berkelayakan untuk menjalankan tugas mereka di jabatan-jabatan tersebut.

Abdul Hamid dilapor berkata pihaknya kini dalam proses menukarkan segelintir pegawai dan anggota dari D7 dan Narkotik yang disyaki mengambil kesempatan daripada sindiket tertentu atau penjenayah yang menjalankan kegiatan perjudian dan dadah.

Proses saringan ini membabitkan peringkat Bukit Aman, kontinjen dan daerah dengan tumpuan utama pada peringkat permulaan adalah di sekitar Lembah Klang, terutama Kuala Lumpur.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS