Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
160 pekerja asing positif Covid-19 selepas kuarantin di sebuah hotel

Lebih 160 pekerja asing di sebuah kilang disahkan positif Covid-19 setelah menjalani kuarantin di sebuah hotel bajet di Seri Kembangan, Selangor sejak Jumaat lalu, kata pengasas Country Heights Holdings Bhd, Lee Kim Yew.

Daripada 200 pekerja asing yang dibawa dari zon merah Covid-19 di Klang itu, 31 diuji positif Covid-19 pada 14 Nov lalu, iaitu sehari selepas mereka mendaftar masuk di hotel berkenaan, kata ahli perniagaan itu.

Sementara itu seramai 132 lagi pekerja diuji positif hari ini, katanya kepada Malaysiakini.

Gambar yang diberikan oleh Lee menunjukkan pegawai kementerian kesihatan tiba di hotel berkenaan dan mengepung kawasan itu pagi ini.

Hotel berkenaan terletak berhampiran The Mines Shopping Mall yang dibangunkan oleh Lee sendiri.

Lee pada awalnya tidak melihat ada masalah bagi kilang berkenaan menghantar pekerja mereka untuk menjalani kuarantin di hotel yang dimiliki dan dikendalikan oleh kilang itu sendiri.

Bagaimanapun, dia bimbang terhadap kebajikan pekerja asing berkenaan dan keselamatan masyarakat sekeliling.

"Pekerja ini diuji positif Sabtu lalu tetapi mereka hanya dihantar pada Ahad malam. Sehingga petang ini, bangunan itu masih belum ditutup dan kedai serbaneka, yang terletak di tingkat bawah hotel, masih beroperasi," katanya.

"Saya bimbang terhadap keselamatan orang awam dan penduduk kerana pekerja asing berkenaan dilihat membeli barang di kedai serbaneka," katanya.

"Terdapat langkah pencegahan yang buruk untuk melindungi pekerja asing kerana kebanyakan mereka dijangkiti," katanya.

"Ini sangat serius dan virus ini sangat menular. Adalah tidak wajar bagi pengilang berkenaan menghantar pekerja mereka yang dijangkiti ke sini. 

"Kamu tidak boleh pindahkan pekerja kamu dari zon merah (ke zon hijau) selepas tahu mereka dijangkiti, "katanya.

Malaysiakini telah menghubungi pengilang berkenaan untuk memberikan respons dan masih menunggu jawapan.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS