Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Kelantan sedia pusat kuarantin Covid-19 di setiap DUN ketika banjir

Kelantan akan membuka 45 pusat kuarantin Covid-19 sepanjang musim banjir yang dijangka tidak lama lagi, bagi menempatkan mangsa banjir yang menunjukkan gejala jangkitan wabak itu.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Dr Izani Husin berkata, pusat kuarantin itu juga sebagai penempatan sementara mangsa banjir dari zon merah.

"Untuk keseluruhan Kelantan, kita mempunyai 539 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan setiap DUN, kita akan menyediakan satu pusat kuarantin.

"Mereka yang bergejala Covid-19 akan ditempatkan di pusat berkenaan sebelum keputusan saringan keluar. Jika positif, mereka akan dihantar ke hospital dan jika negatif, mereka akan dikuarantin terlebih dahulu.

"Bagi mangsa banjir dari zon merah yang pulang ke kampung juga akan ditempatkan di pusat saringan berkenaan dengan menepati prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya ketika meninjau pusat saringan banjir Covid-19 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati, Pasir Mas, hari ini.

Hadir sama Pengarah Jabatan Kesihatan Kelantan, Dr Zaini Hussin dan Exco Kebajikan, Pembangunan Keluarga Dan Wanita Negeri Kelantan, Mumtaz Md Nawi.

Izani berkata, pihaknya berpuas hati dengan tahap persediaan PPS dan pusat kuarantin walaupun tahap penyiapannya masih 80 peratus.

"Banjir kali ini berbeza dengan tahun sebelumnya kerana kita dilanda Covid-19. Sebelum ini, setiap PPS boleh menempatkan sehingga 1,000 mangsa banjir, namun kini hanya 500 mangsa sahaja di setiap PPS.

"Makanan juga akan dibungkus selain dipakaikan gelang nama bagi mengelak pergerakan berleluasa," katanya.

Sementara itu, Dr Zaini memaklumkan jumlah kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri yang ditempatkan di pusat kuarantin bergantung kepada kapasiti penghuni.

"Jika ramai, kita akan tempatkan kakitangan dan jika sebaliknya, kita hanya menggunakan van bergerak," katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS