Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador menjamin keselamatan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, untuk pulang ke Malaysia.
Ia selepas pendedahan rakaman yang antara lain menunjukkan Jho Low mendakwa dia tidak terlibat dalam apa-apa kesalahan dalam skandal 1MDB.
"Jika dia rasa tak bersalah, mengapa masih bersembunyi?
"Dia boleh pulang pada bila-bila masa untuk membolehkannya beri penjelasan kepada peguam negara. Dia saya boleh jamin keselamatannya (untuk pulang).
"Tetapi setakat ini, di sisi undang-undang, dia adalah orang buruan," katanya seperti dipetik the Malay Mail.
Rakaman perbualan Jho Low dengan Pejabat Peguam Negara pada 2018 dipaparkan dalam dokumenteri Al Jazeera yang disiarkan hari ini.
Dalam rakaman itu, dia antara lain menafikan sebarang kesalahan dan wang yang diseleweng daripada 1MDB adalah "pinjaman".
Dia juga berkata sanggup bekerjasama untuk memulangkan semula aset yang diperolehi daripada wang itu.
Hamid berkata dia telah dimaklumkan berkenaan perbincangan itu oleh Pejabat Peguam Negara. Ketika itu Hamid merupakan pengarah Cawangan Khas (SB).
Dia juga menyifatkan Low sebagai pandai bersembunyi sehingga "penguatkuasa undang-undang paling hebat dengan teknologi paling maju pun tidak dapat mengesannya".
Pada 2018, bekas menteri kewangan Daim Zainuddin mendedahkan Low cuba menghubunginya untuk mendapatkan imuniti.
"Dia nak bercakap dengan saya tetapi saya tak mahu, dia ada telefon tetapi saya suruh beliau bercakap dengan wakil saya.
"Jika dia tak salah baliklah, malam itu pun dia telefon saya," katanya pada masa itu.
Pada Disember 2018, Jho Low telah didakwa in absentia (tanpa kehadiran) atas pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan wang berjumlah AS$1.03 bilion (RM4.2 juta).