Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

"Kehilangannya cukup dirasai" - Demikian luah Noor Fuzana Yaakub, isteri kepada ketua pengarang akhbar Sinar Harian, Allahyarham Baharom Mahusin yang menghembuskan nafas terakhir pagi ini.

Ditemui di Masjid Bilal Bin Rabah, Gombak, pagi ini, Noor Fuzana kelihatan tabah menerima ketentuan Tuhan dengan pemergian suaminya.

"Saya sedih dengan pemergiannya, arwah seorang yang sangat komited dalam soal kerja. Bahkan masih mengambil tahu tentang kerja walaupun dia kurang sihat.

"Dia disenangi semua orang, dia berkawan dengan semua orang tak kira tua muda. Jadi, kehilangannya cukup dirasai," katanya.

Tambah Noor Fuzana, dia menerima ketentuan Ilahi dengan hati yang tenang dan reda.

Terdahulu, Pengerusi Lembaga Pengarah Sinar Harian, Hussamuddin Yaacub memaklumkan tentang kematian Baharom.

Menurut ciapannya di Twitter, Baharom meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

"Hari ini, Sinar Harian terpaksa merelakan sebuah lagi kepergian.

"Semoga Allahyarham Dato Baharom Mahusin, yang baru menghembuskan nafas terakhir beliau di PPUM damai di sana.

"Saya bersaksi bahawa arwah seorang yang amat baik. Semoga Allah memberi tempat terbaik buat beliau," katanya.

Bernama turut memetik Hussamuddin sebagai berkata, Allahyarham mengalami pelbagai komplikasi akibat jangkitan kuman dalam darah.

Jenazah Baharom, 54, dikafankan dan di sembahyangkan di Masjid Bilal Bin Rabah di Taman Koperasi Polis, sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Islam Raudhatul Sakinah di Kuala Lumpur, selepas sembahyang Zohor.

Turut hadir menziarahi jenazah arwah ialah Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pemuda Umno Dr Asyraf Wajdi Dusuki.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS