Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengurusan Pasar Seni sedia bincang kegusaran peniaga

Pihak pengurusan Pasar Seni menjelaskan bahawa pihaknya terbuka untuk mengadakan perbincangan bersama peniaga susulan kegusaran yang dihadapi.

“Melihat kepada perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), peniaga kena buka kedai tapi tiada pelanggan.

“Kami terbuka untuk berbincang sekiranya pelanggan mempunyai kebimbangan,” kata pegawai komunikasi korporat Pasar Seni ketika dihubungi Malaysiakini.

Dia berkata demikian susulan keluhan beberapa peniaga yang berasa bimbang ekoran ketiadaan pelanggan sehingga tidak mampu untuk membayar sewa kedai.

Menurut beberapa peniaga Pasar Seni yang tidak mahu dinamakan, mereka mula hilang pelanggan sejak awal kerajaan melaksanakan perintah PKPB.

“Waktu PKPP (perintah kawalan pergerakan pemulihan) dulu bisnes mula dah nak jalan, sekarang PKPB memang tiada orang langsung.

“Kadang jualan sehari nak cecah RM50 pun susah. Jadi kami sukar nak bayar sewa kedai,” katanya kepada Malaysiakini.

Selain itu, seorang peniaga lagi menjelaskan bahawa dia terpaksa menutup salah satu dari tiga cawangan kedainya di Pasar Seni kerana tidak mampu untuk membayar sewa.

“Saya terpaksa tutup satu (dari tiga kedai) kerana jualan tidak ada. Pelanggan kami selalunya pelancong. Ini memang tiada pelancong langsung. Jadi tak boleh nak buat apa la,” kata peniaga yang sudah menjalankan perniagaannya di Pasar Seni lebih 10 tahun.

Pada 7 Nov lalu, kerajaan telah memutuskan untuk melaksanakan PKPB di kebanyakan negeri bagi mengekang penularan Covid-19.

Menteri Pertahanan, Ismail Sabri Yaakob berkata PKPB akan dikuatkuasakan di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Terengganu.

Negeri yang tidak terlibat dengan PKPB adalah Perlis, Pahang dan Kelantan dan sebahagian besar kawasan di Sarawak.

Sementara itu, terdapat juga peniaga yang meminta agar sewa kedai diturunkan ekoran perniagaan yang kurang memberi hasil.

“Pengurusan ada turunkan, tetapi tak memadai. Sebab saya masih kena bayar jumlah wang yang banyak. Jadi saya harap pengurusan kurangkan lagi.

“Harap mereka bantu kami yang agak susah sekarang ini. Meniaga apa semua tak jalan,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS