Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ketua Pengarang Sinar Harian meninggal dunia
Diterbitkan:  Nov 17, 2020 9:09 AM
Dikemaskini: 3:22 AM

Pengerusi Lembaga Pengarah Sinar Harian, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub memaklumkan ketua pengarang akhbar itu Baharom Mahusin menghembuskan nafas terakhir pagi ini

Menurut hantaran beliau di Twitter, Allahyarham meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

"Hari ini, Sinar Harian terpaksa merelakan sebuah lagi kepergian.

"Semoga Allahyarham Dato Baharom Mahusin, yang baru menghembuskan nafas terakhir beliau di PPUM damai di sana.

"Saya bersaksi bahawa arwah seorang yang amat baik. Semoga Allah SWT memberi tempat terbaik buat beliau," ciap Hussamuddin.

https://twitter.com/Hussamuddin/status/1328481966287507456

Sementara itu, Bernama memetik Hussamuddin sebagai berkata, allahyarham mengalami pelbagai komplikasi akibat jangkitan kuman dalam darah.

"Allahyarham masuk hospital sejak dua minggu lepas, dia mengalami batu karang tersumbat dalam hempedu.

"Selepas itu, terdapat jangkitan kuman dalam darah dan sehingga semalam, komplikasi itu menyerang pada jantungnya," katanya.

Menurutnya, jenazah Baharom, 54, akan dibawa dari PPUM ke Masjid Bilal Bin Rabah di Taman Koperasi Polis untuk solat jenazah sebelum dikebumikan di tanah perkuburan Islam Raudhatul Sakinah di Kuala Lumpur.

Hussamuddin menyifatkan Allahyarham sebagai seorang yang rajin, berdedikasi, tegas dan teliti dalam pekerjaannya serta berjaya melakukan transformasi terhadap surat khabar Sinar Harian.

Baharom yang dilahirkan di Kuantan, Pahang dilantik sebagai ketua pengarang Kumpulan Sinar Harian pada April 2019.

Dia bermula sebagai wartawan sebelum menjadi pewarta Utusan Malaysia di London antara 1994 hingga 1997. Selepas itu, beliau bertugas sebagai editor di akhbar Kosmo!.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS