Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Azmin: Mesyuarat menteri Apec tumpu dagang, pelaburan
Diterbitkan:  Nov 17, 2020 8:34 AM
Dikemaskini: 12:34 AM

Peranan perdagangan dan pelaburan menjadi agenda utama dalam pertemuan secara maya menteri-menteri perdagangan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) ke-31 di Kuala Lumpur, malam tadi.

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata dalam ucapan pembukaannya bahawa topik ini penting dalam mengemudi rantau ini di landasan pemulihan ekonomi yang kukuh pasca pandemik.

“Komitmen ini kepada usaha tanpa henti melaksanakan perdagangan dan pelaburan bebas dan terbuka akan menjadi lebih penting semasa tempoh mencabar ini, mempamerkan tekad utuh kita kepada nilai-sistem Apec.

“Ini menyokong keazaman dan keyakinan Asia Pasifik untuk terus mengekang dasar perlindungan perdagangan dalam apa juga bentuk yang mungkin datang,” katanya.

Mohamed Azmin, yang mempengerusikan mesyuarat itu berkata rantau ini juga akan mengukuhkan sokongan kepada sistem dagangan pelbagai hala yang berasaskan peraturan yang berfungsi dengan baik dan berusaha keras menggerakkan agenda pembangunan Pertubuhan Perdagangan Dunia.

Beliau berkata Apec menjadikannya sebagai keutamaan untuk menambah baik naratif perdagangan dan pelaburan dengan menterjemahkan elemen-elemen ini menjadi pertumbuhan ekonomi yang membawa manfaat yang besar kepada kesejahteraan rakyat.

Sehubungan ini, katanya, rantau ini telah memberi penekanan utama kepada kemakmuran bersama bagi membolehkan penyertaan ekonomi yang lebih efektif dan bermakna oleh semua segmen masyarakat.

Menurutnya, Apec juga terus menyokong kerjasama ekonomi dan teknikal terutamanya bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana, wanita dan golongan yang mudah terjejas.

“Kita juga menyedari keperluan untuk terus meningkatkan pembinaan kapasiti dan bantuan teknikal kepada mereka yang paling terjejas oleh pandemik COVID-19,” katanya.

Sementara itu, Mohamed Azmin berkata gelembung perjalanan yang muncul di rantau ini merupakan satu perkembangan penting kerana ia kemungkinan dapat menentukan masa depan perjalanan dan pelancongan.

“Gelembung ini juga penting dalam merancakkan semula pergerakan penduduk dalam rantau Apec,” katanya.

Pemimpin dan menteri-menteri daripada 21 ekonomi anggota Apec akan berkumpul secara maya minggu ini, diketuai Malaysia sebagai tuan rumah Apec 2020 bagi kali kedua.

Mereka akan berbincang mengenai cabaran Covid-9 ke atas rantau ini dan membuka laluan bagi pemulihan selepas pandemik.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS