WAWANCARA | Ahli Parlimen Simpang Renggam Dr Maszlee Malik menyoal Kementerian Pendidikan (KPM) mengenai apakah status kandungan bagi rancangan TV pendidikan yang bernilai RM1.9 juta sejak beberapa bulan lalu ketika pandemik Covid-19 melanda negara.
Menurutnya, KPM telah memberikan kontrak kepada syarikat produksi Radius One Sdn Bhd bagi menghasilkan kandungan TV pendidikan yang berkualiti dan lebih baik dari sedia ada.
“Di Malaysia sepertimana yang kita ketahui Kementerian pendidikan telah memberikan kontrak kepada sebuah syarikat, semenjak beberapa bulan yang lalu untuk hasilkan content ataupun kandungan TV pendidikan.
“Tapi sehingga November ini kita tak nampak mana kandungan tersebut dan kontrak itu bernilai RM1.9 juta.
“Tapi sehingga kini apakah hasilnya? Kita ingin tanyakan,” katanya ketika temu bual bersama Malaysiakini di Pertubuhan Rejuvenasi Pendidikan di Cyberjaya, baru-baru ini.
Berjalan tanpa masalah, kata syarikat
Sementara itu, penerbit Radius One Sdn Bhd, Fazli Baharom memberitahu penghasilan kandungan tersebut sedang berjalan tanpa sebarang masalah.
Malah terdapat beberapa daripadanya telah disiarkan.
"Semua berjalan lancar. Memang orang kata inilah pertama kali Radius One dapat menyumbang untuk pendidikan negara kita - untuk pelajar, untuk budak sekolah.
"Sebab pasal PKP ini, walaupun kami banyak buat drama tapi orang kata dapat jugalah sumbang (menyumbang) untuk negara," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Katanya, sumbangan itu sebagai menambahbaikkan TV pendidikan sedia ada di negara ini.
"Maknanya ada budak yang tak ada Internet. Jadi mereka bergantung kepada TV," katanya.
Fazli juga berkata kontrak itu diperoleh mereka melalui tender terbuka pada Jun.
Malaysiakini telah menghubungi pejabat menteri pendidikan dan pihak kementerian dan masih menunggu maklum balas mereka berkaitan isu itu.
Jauh beza TV pendidikan negara jiran
Bekas menteri pendidikan itu menyentuh isu kesukaran pembelajaran dalam talian yang bukan sahaja dihadapi oleh murid-murid, terutamanya golongan keluarga B40, tetapi juga cabaran yang perlu ditangani guru-guru.
Dia membuat perbandingan tempoh penyiaran TV pendidikan yang disiarkan oleh negara lain seperti Indonesia, Thailand dan Turki yang menyiarkan dalam tempoh lebih lama sehari berbanding di Malaysia yang hanya memperuntukkan dua jam sehari.
Untuk rekod, TV pendidikan disiarkan menerusi saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM) melalui platform TV Okey.
Kata Maszlee lagi, Malaysia jauh berbeza jika dibandingkan dengan TV pendidikan yang disediakan untuk murid-murid di negara jiran Thailand dan Indonesia di mana saluran lebih banyak dan memperuntukan lebih tempoh masa.
“Dan Turki mempunyai saluran daripada pra-sekolah sehingga universiti mempunyai saluran-saluran, di mana Malaysia?
“Sebab itu saya katakan pendidikan bukan (peranan) KPM semata-mata… kena kerjasama dengan Kementerian Komunikasi.
“Daripada mereka (kerajaan) gunakan (beri peruntukan) untuk Jasa, lebih baiklah mereka bangunkan TV Pendidikan ini dan juga pihak radio perlu ada juga,” katanya.
Masih minat kerusi menteri pendidikan?
Sementara itu, apabila ditanya adakah dia masih berminat untuk kembali menyandang jawatan menteri pendidikan sekiranya diberikan peluang, Maszlee menjawab apa yang lebih penting baginya adalah memastikan kelangsungan pendidikan untuk rakyat.
“Siapa pun menteri pendidikan, dia mesti pastikan usaha untuk reformasi pendidikan itu perlu berjalan.
“Walaupun dalam tempoh 20 bulan kita (PH) digasak, diasak dengan pelbagai tuntutan agar segera dilaksnakan semua reformasi dalam sekelip mata, ia tidak dapat dicapai dalam sekelip mata.
“Tapi apa legasi yang kita (KPM sewaktu PH) tinggalkan dalam 20 bulan itu cukup untuk menunjukkan bahawa kita boleh lakukan lebih baik daripada itu… Berikan kita waktu kita boleh lakukan yang lebih baik daripada itu,” katanya.
BACA BERKAITAN:
Bahagian 1: Isu pendidikan penentu sikap Maszlee pada Belanjawan 2021
Bahagian 2: 'Cuma MCA, MIC yang tak tawar saya masih parti'