Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
'Rombakan di D7, JSJ, narkotik kerana ada polis bersekongkol dengan sindiket'
Diterbitkan:  Nov 16, 2020 5:02 PM
Dikemaskini: 9:33 AM

Polis Diraja Malaysia (PDRM) memaklumkan bahawa Bahagian Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) akan dirombak setelah beberapa pegawai dipercayai  bersekongkol dengan sindiket penjenayah.

D7 adalah salah satu bahagian di bawah JSJ.

Berita Harian memetik Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador mengatakan bahawa jabatan pengurusan Bukit Aman telah membentuk sebuah jawatankuasa khas untuk menyaring semua polis yang berkelayakan untuk menjalankan tugas mereka di jabatan-jabatan tersebut.

Kata  Abdul Hamid, pihaknya kini dalam proses menukarkan segelintir pegawai dan anggota dari D7 dan Narkotik yang disyaki mengambil kesempatan daripada sindiket tertentu atau penjenayah yang menjalankan kegiatan perjudian dan dadah.

"Proses saringan ini membabitkan peringkat Bukit Aman, kontinjen dan daerah. Untuk peringkat permulaan tumpuan utama kita adalah di sekitar Lembah Klang, terutama Kuala Lumpur.

"Ini adalah amat penting bagi memastikan Kuala Lumpur dapat dibersihkan daripada elemen pegawai dan anggota yang menyeleweng serta memberikan imej yang tidak baik kepada pasukan PDRM (Polis Diraja Malaysia)," katanya seperti dilapor.

Menurut Abdul Hamid, bulan lalu, sejumlah 34 pegawai kanan polis di seluruh negara dipindahkan kerana mereka mempunyai masalah integriti setelah mereka dipercayai bersekongkol dengan sindiket tertentu.

Proses pemindahan, katanya, masih belum selesai.

"Dalam masa terdekat ini masih ada lagi pertukaran yang dilakukan dan saya meletakkan semua tanggungjawab itu terhadap Jabatan Pengurusan yang kini dipimpin oleh Ramli Din.

"Mana-mana pegawai dan anggota yang berpotensi dan melepasi saringan yang dibuat maka mereka akan diserapkan ke-tempat panas seperti D7 dan narkotik," katanya.

Abdul Hamid mengulangi pendiriannya untuk tidak pernah berkompromi dengan anggota polis yang mempunyai "jalinan mesra" dengan penjenayah, dan menjanjikan tindakan tegas terhadap anak buahnya jika terlibat.

Bulan lalu, SPRM menahan 10 individu termasuk lapan pegawai kanan polis kerana terlibat dengan sindiket Macau Scam.

Mereka antara lain terdiri daripada Asisten Komisioner Polis (ACP), Deputi Superintendan, dan Asisten Superintendan. Mereka berpusat di Bukit Aman dan ibu pejabat polis kontinjen Selangor.

Sindiket itu dikatakan telah mensasarkan mangsa di China dan menggunakan Malaysia sebagai hab operasi dan mencuci wang.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS