PARLIMEN l Keputusan untuk menutup sekolah sebagai sebahagian daripada langkah pencegahan Covid-19 seharusnya diserahkan kepada pejabat pendidikan daerah, kata bekas menteri pendidikan Maszlee Malik.
Ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020, Maszlee (Bebas-Simpang Renggam) berkata keputusan untuk menutup sekolah tidak seharusnya dibuat Putarajaya.
"Dalam masalah penutupan dan pembukaan kembali sekolah, mengapa tidak diserahkan kepada pejabat pendidikan daerah bersama dengan sekolah setempat dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru?
"Mereka lebih mengetahui keadaan di kawasan mereka berbanding di Putrajaya," kata Maszlee.
"Biarlah keputusan dibuat di peringkat mikro serta lokal dan bukannya di peringkat pusat," tambahnya sambil menyatakan bahawa ketidaktentuan telah menimbulkan kebimbangan di antara pihak berkepentingan termasuk ibu bapa dan guru.
Tambah Maszlee penutupan sekolah yang berpanjangan akan memberi kesan negatif bukan sahaja kepada pelajar tetapi juga pengusaha kantin dan penyedia perkhidmatan yang berkaitan.
Sebelumnya, Teo Nie Ching (PH-Kulai) juga membantah penutupan sekolah secara menyeluruh termasuk di zon hijau Covid-19 seperti Pahang.
"Adakah wajar kita menutup semua sekolah termasuk di zon hijau seperti Pahang, dengan sifar kes baru dan sifar kes aktif.
"Mengapa kita tidak boleh membiarkan anak-anak di sana kembali ke sekolah jika dipersetujui oleh ibu bapa mereka?"soal Teo yang juga timbalan kepada Maszlee dalam pentadbiran kerajaan PH sebelumnya.
"Saya tidak ada masalah jika ibu bapa mengatakan bahawa mereka berasa tidak selamat menghantar anak mereka ke sekolah, tetapi kita perlu memikirkan apakah keputusan ini akan melebarkan jurang pendidikan antara pelajar," katanya, sambil menambah bahawa pelajar yang teruk terkesan adalah pelajar luar bandar dengan sumber yang terhad untuk pembelajaran di rumah.
Sementara itu, Teo berpendapat tuduhan yang mengatakan sekolah vernakular menghalang perpaduan nasional di kalangan rakyat Malaysia adalah tidak benar.
Dengan memetik contoh rakan baik anaknya yang bernama Yusof, Teo mengatakan bahawa walaupun di sekolah berlainan aliran, tetapi tidak menghalang kedua-duanya menghabiskan masa bersama.
"Apa masalahnya? Bagi anak-anak kita, Elsa boleh menjadi idola mereka, Mulan dapat menjadi idola mereka, Moana juga dapat menjadi idola mereka.
"Bagi anak-anak, mereka bukan perkauman atau memendam prasangka. Siapa yang mempunyai sentimen perkauman dan prasangka? Malangnya, ada di antara kita yang duduk di sini," katanya memetik watak animasi.
Dalam jawapan Parlimen 10 November kepada Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad, data Kementerian Pendidikan menunjukkan bahawa pendaftaran pelajar Melayu di SJKC melonjak 6.18 peratus dari 2010 hingga 2020.