Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Syarikat kosmetik EY Beauty Empire nafi terlibat edar dadah
Diterbitkan:  Nov 14, 2020 9:31 PM
Dikemaskini: 1:35 PM

EY Beauty Empire Sdn Bhd (EY Beauty Empire) hari ini menafikan penglibatan syarikat itu, dalam kegiatan pengedaran dadah susulan penahanan seorang lelaki yang dikaitkan dengan syarikat kosmetik tersebut, seperti yang tular di media sosial sejak semalam.

Pengasas yang juga Pengarah Urusan EY Beauty Empire Zalina Zahari menjelaskan, individu yang ditahan itu juga bukan ketua pegawai eksekutif syarikat itu sebagaimana yang tersebar di media sosial.

“Saya ingin menjelaskan bahawa EY Beauty Empire dimiliki oleh saya secara berseorangan dan diasaskan menggunakan modal daripada saya sendiri.

“Penglibatan individu bergelar 'Datuk Seri' itu adalah untuk promosi dan pelancaran produk semata-mata, tanpa menjejaskan pemilikan syarikat mahupun bidang perniagaan syarikat saya,” katanya pada sidang media di Kota Bharu hari ini.

Mengulas lanjut, Zalina berkata sepanjang berurusan dengan lelaki berkenaan, beliau hanya dimaklumkan lelaki itu menjalankan perniagaan kontraktor, kayu balak serta kayu gaharu, malah tidak mengetahui penglibatan suspek dengan sebarang aktiviti menyalahi undang-undang sehingga ia dilaporkan media semalam.

Susulan itu, bagi membersihkan semula nama syarikat miliknya yang beroperasi sejak Jun lepas, Zalina berkata beliau telah membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu bagi menafikan penglibatan EY Beauty Empire dengan kegiatan dadah.

“Saya percaya kepada kredibiliti polis untuk menyiasat perkara ini, serta menyerahkan kepada pihak berkuasa dan mahkamah untuk menyiasat dan menentukan penglibatan lelaki berkenaan.

“Saya juga memohon pengguna Facebook, Instagram serta media sosial lain untuk berhenti mengaitkan EY Beauty Empire dengan kegiatan dadah dan apa jua kegiatan menyalahi undang-undang. Kami menganggap ia fitnah jahat dan boleh menjatuhkan nama baik syarikat serta produk kami di mata masyarakat.

“Saya juga akan mengambil tindakan undang-undang melalui saman sivil, terhadap mereka yang membuat posting mengaitkan EY Beauty Empire dengan kegiatan dadah. Saya mohon ia dipadamkan,” tambahnya.

Dilaporkan semalam, polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa dengan penahanan ketuanya, yang juga seorang usahawan kosmetik dari Kelantan bersama adiknya dan merampas dadah jenis syabu bernilai RM5 juta pada Selasa lepas.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS