Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Sebelum sanggah, siasat dulu dakwaan Tiong - Kesatuan sekerja Sabah
Diterbitkan:  Nov 13, 2020 11:35 PM
Dikemaskini: 3:35 PM

Dakwaan Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing berhubung keadaan petugas kesihatan dalam memerangi Covid-19 di Sabah perlu disiasat terlebih dahulu sebelum dakwaan itu disanggah begitu sahaja, kata Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perubatan Sabah Ajulahin Japin.

Beliau yang juga Setiausaha Cuepacs Sabah berkata sebarang dakwaan dari mana-mana pihak yang melibatkan pekerja dengan niat yang ikhlas memang amat dihargai, dan cara terbaik bagi mendapatkan fakta sebenar sesuatu kes adalah dengan menyiasat ke akar umbi.

“Kami sering menerima aduan daripada pekerja kesihatan, terutama dalam situasi kritikal berhadapan dengan Covid-19 ketika ini, lalu kami akan salurkan aduan itu kepada Kementerian Kesihatan, dan kemudian kami terima maklum balas kepada aduan itu, mengenai bagaimana cara untuk membaiki keadaan.

"Apa yang kita pentingkan adalah kebajikan petugas kesihatan kita, dan kita juga berikan maklum balas kepada pihak berkuasa kesihatan mengenai cara menanganinya, contohnya isu berhubung tuntutan elaun kerja lebih masa yang harus dibayar dengan teratur,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Rabu lepas persidangan Dewan Rakyat menyaksikan perbalahan antara beberapa Ahli Parlimen apabila Tiong mempersoalkan mengapa Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah tidak turun padang untuk melihat sendiri keadaan petugas kesihatan dalam memerangi Covid-19 di Sabah.

Ajulahin yang menganggap bahasa yang digunakan oleh Tiong sebagai "tidak sepatutnya” berkata pihaknya sanggup bekerjasama dengan ahli politik bagi mengenal pasti bidang-bidang tertentu yang memerlukan perhatian, terutama bagi petugas kesihatan di Kota Kinabalu, walaupun tidak dinafikan persekitaran kerja di Kota Kinabalu semakin bertambah baik.

"Kami sering berhubung rapat dengan anggota kami, terutama petugas barisan hadapan semasa menghadapi pandemik ini, dan kami sedar tekanan hebat yang dirasai oleh mereka ketika ini. Sebarang usaha meringankan beban mereka memang amat dialu-alukan,” katanya.

"Bekerja syif 12 jam sememangnya amat ‘stres’, namun petugas kesihatan kita masih dapat berkhidmat dengan cemerlang. 

"Kita perlu berterima kasih kepada banyak pertubuhan bukan kerajaan dan individu yang tampil untuk menyumbang pelbagai bantuan seperti kelengkapan perlindungan peribadi (PPE) dan juga makanan,” tambahnya.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS