mk-logo
Berita
Tiong bidas pemimpin PBB, minta semak ucapannya di parlimen
Diterbitkan:  Nov 13, 2020 4:55 PM
Dikemaskini: 9:29 AM

Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Tiong King Sing hari ini menggesa pengkritiknya tidak membuat kesimpulan melulu berhubung kenyataan terhadap Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah di Dewan Rakyat baru-baru ini.

Sambil sekali lagi menegaskan dia tidak mempunyai niat jahat terhadap sesiapa pun terutama Noor Hisham, Tiong meminta pengkritiknya terutama Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Abdul Karim Rahman Hamzah, supaya menyemak fakta ucapannya terlebih dulu.

"Kamu harus berusaha untuk memeriksa fakta teks ucapan penuh saya di parlimen dan bukannya bergantung kepada laporan berita yang telah disensasikan berdasarkan laporan sebelah pihak dari Ahli Parlimen DAP Jelutong, RSN Rayer di Parlimen.

“Sebagai anggota Gabungan Parti Sarawak (GPS), yang dianggap sebagai ahli politik kanan, dia harus memahami isu yang lebih mendalam sebelum berbicara.

"Dan jika kamu benar-benar merasakan semua anggota GPS adalah seperti ahli keluarga, maka tolonglah hubungi saya secara terus untuk memahami selok-belok perkara sebelum memberi komen," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Abdul Karim menyifatkan dakwaan Tiong bahawa Noor Hisham tidak turun ke Sabah kerana 'takut mati' sebagai mengejutkan dan memalukan.

Malah katanya, kenyataan itu tidak sepatutnya dikeluarkan oleh rakyat Sarawak.

“Saya ada melihat ucapan beliau di parlimen dan saya terkejut. Saya tidak sangka dan berasa malu kerana kenyataan itu dikeluarkan oleh anak Sarawak.

“Kita sepatutnya mengiktiraf pengorbanan yang dilakukan terutama mereka yang bekerja dalam bidang perubatan, tentera dan polis,” kata Abdul Karim.

Tak peduli kritikan balas

Dalam pada itu, Tiong yang juga Ahli Parlimen Bintulu, teus mempertahankan kritikannya terhadap Noor Hisham.

Katanya, dia tidak peduli dengan sebarang kritikan balas terhadapnya.

"Saya harus menegaskan sekali lagi bahawa saya sama sekali tidak bermaksud untuk menyinggung perasaan petugas barisan hadapan kita. 

"Sebenarnya, saya secara khusus memperhatikan sikap dedikasi mereka dalam memerangi wabak itu.

"Apa yang saya jelaskan adalah kebertanggungjawaban dan tanggungjawab peribadi Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan dalam tempoh yang sukar ini. 

"Isu-isu ini mesti diambil lebih serius, untuk kesihatan dan masa depan semua rakyat Malaysia," katanya lagi.

Tong berkata kritikannya berdasarkan kebenaran seperti situasi yang berlaku di Sarawak apabila kakitangan kesihatan terpaksa mengambil inisiatif sendiri mengatasi kekurangan peralatan perlindungan diri (PPE).

Katanya, kekurangan PPE di Sarawak pada masa lalu, memaksa petugas barisan hadapan memotong beg plastik untuk dijadikan PPE sementara, manakala yang lain perlu membeli PPE mereka sendiri.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS