Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lebih banyak kerja di suku ke-3, tapi masih rendah dari 2019
Diterbitkan:  Nov 12, 2020 7:05 PM
Dikemaskini: 11:05 AM

Jumlah pekerjaan di sektor swasta di negara ini meningkat sedikit dalam suku ketiga tahun ini setelah mengalami penurunan pada suku sebelumnya.

Bagaimanapun, pencari pekerjaan belum boleh menarik nafas lega, memandangkan angka itu 181,400 lebih rendah berbanding tempoh sama tahun lepas.

Berdasarkan perangkaan pekerjaan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan hari ini, bilangan pekerjaan sektor swasta adalah sebanyak 5.57 juta pada suku pertama tahun ini, iaitu sama dengan tempoh sama tahun lalu, sebelum wabak Covid-19 menular.

Ia menurun sebanyak 2.13 peratus kepada 8.38 juta pada suku kedua, dan naik sebanyak 1.05 peratus menjadi 8.47 juta pada suku ketiga. Untuk perbandingan, terdapat 8.65 juta pekerjaan pada suku ketiga 2019.

Jabatan itu turut melaporkan bilangan pekerjaan baru pada suku ketiga meningkat berbanding suku sebelumnya.

Terdapat sebanyak 21,000 pekerjaan baru di sektor swasta dalam suku ketiga, berbanding 21,900 pekerjaan dalam suku pertama dan hanya 13,700 dalam suku kedua.

Angka itu mencerminkan situasi ketika tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) dalam sembilan bulan pertama tahun ini, yang menyaksikan perintah itu diketatkan dan dilonggarkan di sepanjang tempoh itu.

PKP mula dilaksanakan di seluruh negara bermula 18 Mac, sebelum digantikan dengan PKP bersyarat (PKPB) yang lebih longgar bermula 4 Mei yang membenarkan banyak sektor ekonomi beroperasi.

Pada 9 Jun, sekatan dilonggarkan lagi untuk sektor ekonomi dan sosial di bawah PKP pemulihan (PKPP).

Kesan pelaksanaan semula PKPB di kebanyakan negeri mungkin hanya akan menampakkan kesannya dalam perangkaan pekerjaan suku keempat nanti, yang dijadualkan diterbitkan pada 9 Feb tahun depan.

PKPB dilaksanakan semula di Sabah pada 13 Okt; Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor pada 14 Okt; Labuan pada 17 Okt, dan semua negeri kecuali Perlis, Pahang, Kelantan dan Sarawak pada 9 Nov.

Ada sesetengah kawasan atau daerah yang dikenakan PKPB atau PKP diperketatkan (PKPD) lebih awal sebelum itu.

Sementara itu, angka Jabatan Perangkaan turut mendedahkan bahawa pekerja mahir dan separa mahir merupakan golongan paling terjejas ekoran pengurangan bilangan pekerjaan berbanding tahun lepas.

Bilangan pekerjaan mahir mengecut dari 2.12 juta tahun lepas menjadi 2.07 juta tahun ini, penurunan sebanyak 2.3 peratus atau 50,200 pekerjaan berbanding suku ketiga tahun lepas.

Bilangan pekerjaan separa mahir pula menguncup sebanyak 2.14 peratus menjadi 5.28 juta berbanding tempoh sama tahun lepas, iaitu pengurangan 115,700 pekerjaan.

Bilangan pekerja kurang mahir pula, mengecut sebanyak 127 peratus menjadi 1.13 juta pekerjaan, berkurang sebanyak 14,500 pekerjaan.

Dari segi bilangan kekosongan pekerjaan pula, jabatan itu berkata, terdapat 179,300 pekerjaan untuk diisi, atau 2.1 peratus daripada jumlah pekerjaan yang ada. 

Ini merangkumi 40,200 pekerjaan mahir, 99,800 pekerjaan separa mahir, dan 38,800 pekerjaan kurang mahir.

“Kekosongan banyak di sektor pengeluaran, iaitu sebanyak 56 peratus, diikuti pertanian (16.8 peratus) dan perkhidmatan (15.5 peratus). Sementara itu, kekosongan pekerjaan di sektor pembinaan dan pelombongan & kuari pula, masing-masing ialah 11.5 peratus dan 0.2 peratus.

“Buat masa ini, hampir separuh atau 42.9 peratus pekerjaan diwujudkan dalam sektor pengeluaran. Sektor perkhidmatan di tempat kedua dengan 38.9 peratus,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS