Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MP Kepong digantung 5 hari lepas sifatkan keputusan Azalina 'bodoh'
Diterbitkan:  Nov 12, 2020 11:39 AM
Dikemaskini: 7:15 AM

Situasi Dewan Rakyat bertukar kecoh selepas berlaku pertikaman lidah antara Speaker Azhar Azizan Harun bersama dua anggota parlimen pembangkang.

Ia bermula ketika Anggota Parlimen Bagan, Lim Guan Eng meminta Azhar untuk melihat kembali ruling (keputusan) yang dibuat Timbalan Speaker Azalina Othman Said berhubung kenyataan Anggota Parlimen Bintulu, Tiong King Sing yang didakwa menghina Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah semalam.

“Saya harap YB Bintulu minta maaf dan pihak kerajaan kecam tindakannya,” kata Lim.

Namun, Azhar berkata ruling tersebut telah dibuat Azalina dan ia muktamad.

Guan Eng mengulangi gesaan Anggota Parlimen Jelutong, RSN Rayer semalam untuk menggesa Tiong untuk memohon maaf, namun menurut Azhar keputusan itu sudah dibuat Azalina dan "tidak baik" jika dia mengubah keputusan berkenaan.

“Saya dah baca hansard. Saya berpendapat retorika bahasa dan penggunaan kata amat besar dan saya perhalusi hansard dan apabila ruling dah dibuat itu final (muktamad) maka saya tidak ada kuasa revisit (kaji semula),” kata Azhar.

Namun Anggota Parlimen Kepong, Lim Lip Eng berkata keputusan yang dibuat oleh Azalina sebagai "bodoh".

“Tetapi itu ruling yang bodoh,” katanya.

Azhar kemudian berang dan meminta Lip Eng keluar dari Dewan Rakyat serta menggantungnya selama dua hari.

Susulan itu, berlaku pertikaman lidah selepas Lip Eng enggan keluar, yang menyebabkan Azhar menggantung Lip Eng selama lima hari dan mengancam akan memanggil polis jika dia masih enggan keluar.

“Kamu keluar, kalau tidak saya panggil polis,” kata Azhar.

Lip Eng akhirnya akur dan mula keluar dewan.

Azhar: Perlu usul persendirian

Selepas anggota parlimen Kepong itu keluar, Azhar menyambung penjelasannya bahawa "tidak baik" sekiranya dia kaji semula keputusan yang dibuat Azalina.

Katanya, satu usul persendirian harus dibuat bagi tujuan itu.

“Timbalan Speaker ruling dah dibuat, dan tak baik sekiranya saya revisit ruling yang sudah muktamad semata-mata ruling itu dibuat timbalan speaker. Mengikut Peraturan Mesyuarat 43, kalau ingin melihat semula ruling itu, satu usul persendirian harus dibuat.

"Jadi saya terikat dengan (peraturan mesyuarat) 43,” katanya.

Kemudian, Anggota Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin pula bangun dan meminta speaker agar menasihati Menteri Kesihatan Dr Adham Baba supaya membuat kenyataan dalam Dewan Rakyat untuk menggesa Tiong memohon maaf kepada Dr Hisham.

Namun Azhar kata, dia tidak dapat berbuat demikian.

“Tolong ah jangan minta saya buat perkara yang saya tak boleh buat. Kita ada masalah Belanjawan 2021 dan krisis Covid-19 lagi. Kita perlu bahas soal itu," kata Azhar sebelum menjemput Ahli Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad menyampaikan perbahasan.

Ahli parlimen yang lain kemudian mula akur dan sesi perbahasan bermula seperti biasa.

Tiong King Sing

Kekecohan hampir serupa berlaku semalam melibatkan Rayer.

Ia susulan kenyataan ahli parlimen Bintulu yang menyifatkan Noor Hisham "takut mati" kerana tidak hadir sendiri ke Sabah untuk melakukan pengawasan wabak Covid-19 di negeri itu.

“DG (Dr Noor Hisham) takut mati sebab dia tak turun di Sabah, tak lockdown awal-awal di penjara,” kata wakil rakyat dari Sarawak itu.

Azalina ketika itu memberi dua pilihan kepada Tiong sama ada untuk menarik balik kenyataannya atau menjelaskan perkara yang disebutkannya.

Bagaimanapun, Tiong tetap enggan menarik balik kenyataannya.

“Ini suara petugas barisan hadapan, jadi saya tidak mahu tarik balik. Selalu (Noor Hisham) hantar orang. Dia kena pergi jugalah,” tegas Tiong.

Semalam, Noor Hisham menjelaskan bahawa dia sudah turun padang pada akhir Ogos lalu untuk melihat sendiri bagaimana persiapan anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di Sabah menjelang pilihan raya negeri ketika itu.

Noor Hisham juga berkata tidak timbul isu takut mati seperti yang dikatakan Tiong.

Susulan itu, Tiong berkata dia tidak mempunyai niat jahat terhadap Dr Noor Hisham Abdullah apabila menuduhnya "takut mati".

Tiong berkata dia hanya mengetengahkan rasa tidak puas hati orang ramai terhadap kelemahan kerajaan dalam memberi respons terhadap penyebaran wabak Covid-19.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS