Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Kenaikan kes Covid-19 di S'gor bukti langkah PKPB tepat - Noor Hisham

Kenaikan kes positif Covid-19 di Selangor menunjukkan kerajaan mengambil keputusan tepat apabila melaksanakan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB) di Lembah Klang, kata Kementerian Kesihatan.

Ketua Pengarahnya Dr Noor Hisham Abdullah berkata keadaan hari ini mungkin menjadi lebih buruk sekiranya langkah pencegahan tidak diambil.

"Kalau lihat taburan kes ikut daerah di Malaysia, jelas tindakan proaktif (melaksanakan) PKPB di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya adalah tepat.

"Sekiranya kita menunggu sehingga zon atau daerah di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya berubah menjadi zon merah terlebih dahulu (sebelum mengenakan PKPB), mungkin sudah terlambat untuk membendung wabak itu," tambah Noor Hisham.

Dr Noor Hisham bercakap kepada pemberita dalam sidang media harian oleh kementerian kesihatan berkenaan perkembangan terkini Covid-19 di negara ini.

Untuk rekod, Selangor mencatatkan 176 kes baru pada hari ini.

Bersama Kuala Lumpur, Putrajaya dan Negeri Sembilan, negeri itu melaporkan sejumlah 427 kes positif, lebih separuh daripada jumlah keseluruhan yang dicatatkan di negara ini setakat tengah hari.

Separuh kes merupakan kes sporadik

Kenaikan itu berlaku ketika jumlah kes di Sabah, yang mencatatkan kes jangkitan dan kematian yang tinggi akibat wabak itu sejak September lalu, mulai menurun.

"Jadi kebimbangan kita tumpuan sekarang ini di Semenanjung, lihat di Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan.

"Lihat aktiviti, kenal pasti lokaliti-lokaliti, kepadatan penduduk tinggi dan penginapan lokaliti yang kita syaki akan (dikenakan) Temco (Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran).

Noor Hisham berkata pihaknya menerima bantahan sebelum melaksanakan PKPB di Selangor.

"Tetapi itu merupakan tindakan proaktif. Lihat sekarang, jika kita belum laksanakan (Selangor di bawah PKPB) sebelum ini, mungkin itu akan lebih buruk berbanding Sabah," katanya.

Menurutnya, data menunjukkan kes di Selangor lebih meluas dan berisiko lebih tinggi berikutan kepadatan penduduk.

Kes-kes yang dilaporkan di negeri ini juga tidak terbatas pada satu-satu kawasan, tetapi tersebar secara meluas.

"Kes sporadik merangkumi 50 peratus jangkitan," katanya.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS