Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim menyeru dalam sesi parlimen pada 9 Nov 2020 bahawa kerajaan perlu mendedahkan data terbuka berhubung kes Covid-19 bagi membudayakan ketelusan dalam pelaksanaan perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Dalam konteks masyarakat kontemporari, ketika berita palsu menjadi masalah sosial yang berleluasa, walaupun kerajaan cuba melindungi maklumat kes Covid-19, masih banyak maklumat yang tidak dapat disahkan dikongsi di kalangan masyarakat.

Malaysia ialah sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi. Masyarakat demokratik bergantung kepada penduduk yang penuh kesedaran untuk membuat keputusan yang baik dan rasional untuk kepentingan awam dan negara.

Maklumat yang dimiliki agensi kerajaan boleh dijadikan rujukan rasmi supaya perdebatan idea dilakukan dalam masyarakat tanpa ada perasaan curiga dan tekanan susulan kekeliruan sumber maklumat.

Oleh itu, rakyat berhak mendapatkan maklumat yang dimiliki kerajaan dengan peruntukan dana awam.

Dengan kata yang lain, hak mendapatkan maklumat atau right to information (RTI) adalah hak setiap rakyat untuk mendapatkan akses kepada maklumat yang dimilik badan-badan awam.

Cadangan untuk mewujudkan akta khas untuk RTI pada peringkat persekutuan amat penting untuk memastikan ketelusan dan kebertanggungjawaban antara pegawai awam dan pihak kerajaan.

Undang-undang hak mendapatkan maklumat merupakan satu jaminan negara yang berasaskan prinsip hak asasi manusia.

Kewujudan undang-undang ini juga dapat membudayakan keadaan sosial - pertukaran maklumat dan pandangan terhadap isu-isu kesihatan awam, politik, ekonomi dan sosial berlaku.

Dan hal ini dapat membantu membentuk konsensus antara orang awan secara rasional dan berasakan fakta yang bersifat saintifik.

Prinsip hak mendapatkan maklumat menganggap bahawa manusia adalah rasional dan berhak mencari kebenaran.

Hal ini selari dengan prinsip dan semangat Perlembagaan Persekutuan yang menghormati setiap jenis kebebasan termasuk kebebasan untuk bersuara dan memberi pendapat.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa hak mendapatkan maklumat merupakan satu jenis hak asasi yang tidak bersifat mutlak.

Dengan ini, undang-undang RTI boleh menyenaraikan secara terperinci mengenai kriteria atau definisi kepentingan keselamatan dan ketenteraman awam supaya dokumen-dokumen yang didapati bercanggah dengan prinsip tersebut dikecualikan demi menjaga keselamatan dan ketenteraman negara.

Polisi data terbuka

Bagaimanapun, beban untuk melindungi maklumat yang dikatakan mengancam keselamatan dan ketenteraman awam perlu dilakukan oleh pihak yang mempunyai maklumat tersebut.

Seperti yang diketengahkan oleh Anwar, bila ada data terbuka dan maklumat jelas, orang ramai lebih yakin.

Anwar Ibrahim dalam perbahasan parlimen

Satu polisi data terbuka adalah amat penting untuk memulihkan kayakinan ramai terhadap kerajaan dalam pelaksanaan polisi baru.

Hal ini bermaksud orang awam tidak perlu menjustifikasikan permohonan mereka untuk mengakses maklumat berkenaan.

Sebaliknya, pihak kerajaan yang memegang maklumat awam perlu mengumumkan maklumat yang dimiliki kerajaan secara proaktif.

Etos undang-undang RTI atau data terbuka perlu memastikan bahawa hak setiap rakyat Malaysia untuk mendapatkan maklumat terjamin serta dilindungi.

Sekiranya terdapat maklumat yang perlu dilindungi daripada akses orang awam demi kepentingan keselamatan negara, tanggungjawab dan justifikasi penolakan akses tersebut perlu dilakukan oleh pihak yang memegang maklumat tersebut.

Kini, dengan arus perkembangan teknologi, institusi awam juga tidak dapat lari daripada tekanan dan pengaruh untuk pengurusan maklumat secara sistematik, saintifik dan dalam bentuk digital.

Ini bermaksud ketersediaan maklumat secara percuma dan dalam pelbagai bentuk supaya boleh diakses dalam masyarakat.

Yang paling penting ialah prinsip memastikan tiada penapisan atau sekatan terhadap masyarakat untuk mengakses maklumat secara bebas dan percuma.

Pada masa yang sama setiap maklumat awam yang dimiliki oleh badan kerajaan dapat dipergunakan demi membangun masyarakat yang berdemokratik, rasional dan berasaskan bukti, tetapi bukan emosi.

Ini supaya dapat kekal memelihara keharmonian dan kemajmukan yang sudah lama wujud di Malaysia.

Di Malaysia, terdapat dua negeri yang menikmati Enakmen Kebebasan Maklumat, iaitu Selangor dan Pulau Pinang. Kedua-dua enakmen ini mengiktiraf hak mendapatkan maklumat daripada kerajaan negeri masing-masing.

Bagaimanapun, enakmen-enakmen ini masih tertakluk kepada kekangan undang-undang pada peringkat persekutuan.

Undang-undang seperti Akta Rahsia Rasmi, Akta Keterangan, Akta Hasutan dan peruntukan-peruntukan khusus Kanun Keseksaan seringkali dijadikan alasan untuk mengehadkan hak rakyat untuk mendapatkan maklumat.


NGO SHEAU SHI ialah pensyarah kanan Pusat Pengajian Komunikasi, Universiti Sains Malaysia (USM).

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS