Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Kenaikan kes Covid-19 di Klang disebabkan 4 kluster - KKM

Kementerian Kesihatan memaklumkan kenaikan mendadak jumlah kes positif Covid-19 di Klang, Selangor disebabkan kluster jangkitan yang berlaku di tempat kerja.

Ketua Pengarahnya, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keadaan di Klang masih terkawal memandangkan pihak berkuasa kesihatan masih mempunyai kemampuan membendung wabak itu.

"Setakat ni masih boleh bertahan. Kita boleh kenal pasti kluster dan individu-individu tersebut. Contact tracing boleh dijalankan dan kita jalankan aktiviti-aktiviti kesihatan awam," katanya kepada wartawan semasa sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Dia ditanya mengenai penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan di Klang dan apakah kementerian tersebut akan mencadangkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah itu bagi mencegah wabak itu menjadi semakin buruk.

Berdasarkan statistik, Klang hari ini mencatatkan 47 kes positif baru, menjadikan jumlah keseluruhan kes aktif sebanyak 426 kes.

--

Menurut Noor Hisham, KKM telah mengenal pasti empat kluster yang menyumbang kepada kenaikan mendadak itu iaitu kluster Usaha, Perigi, Bah Manggis dan Teratai.

Kluster Usaha melibatkan kes indeks seorang lelaki berusia 29 tahun, yang bekerja di sebuah kilang memproses makanan dan minuman. Kluster ini setakat ini telah menjangkiti sebanyak 226 kes.

Kluster Perigi pula melibatkan penghuni asrama pekerja di Jalan Perigi Nanas di Pulau Indah, Klang yang setakat ini menjangkiti 71 individu.

Dua kluster lain - Bah Manggis yang kes indeks mempunyai sejarah perjalanan ke Sabah - menjangkiti seramai 159 individu, sementara kluster Teratai melibatkan pekerja di sebuah kilang di daerah ini dan setakat ini mempunyai 91 kes.

"Ini kes-kes yang menyumbang kepada aktiviti kesihatan awam kita dan kes-kes sporadic dalam komuniti," katanya.

Noor Hisham berkata KKM sedang giat melakukan aktiviti kesihatan bagi mengesan kes positif.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS