Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Indah Water nafi loji kumbahan punca pencemaran Sungai Selangor
Diterbitkan:  Nov 11, 2020 8:52 AM
Dikemaskini: 1:20 AM

Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd menafikan dakwaan bahawa syarikat itu menjadi punca pencemaran sehingga mengakibatkan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang.

Dalam satu kenyataan semalam, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Narendran Maniam mengaitkan pencemaran itu dengan pembuangan sampah haram oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Katanya, IWK menghentikan pembebasan sisa kumbahan pada 4 November lalu, selepas mengesan sisa buangan haram dibuang dalam sistem pembetungannya.

"LRA yang terjejas terpaksa menghentikan aliran selama beberapa hari bagi mengelakkan tumpahan ke sistem perairan. Jika ini tidak dilaksanakan segera, kesan lebih buruk kepada alam sekitar akan berlaku.

"IWK juga melaksanakan rawatan menggunakan enzim bagi meneutralkan proses. Sepanjang tempoh itu, kami terpaksa melakukan proses rawatan air kumbahan di luar tapak.

"Sebaik kami menghentikan pembebasan sisa kumbahan bagi tujuan rawatan, kakitangan IWK terus memaklumkan kepada pihak berkuasa mengenainya," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Semalam, Exco Selangor Hee Loy Sian mendakwa bahawa pencemaran itu berpunca dari loji kumbahan IWK di Taman Velox, Rawang.

Hee, yang mengetuai portfolio alam sekitar, teknologi hijau, sains dan teknologi dan inovasi dan hal ehwal pengguna, juga mengesyaki kemungkinan tindakan sabotaj dalam kejadian itu.

Pihak Hee juga telah membuat laporan polis mengenai perkara itu.

Sementara itu, polis sudah membuka kertas siasatan berhubung kes berkenaan.

Semalam, Lembaga Pengurusan Air Selangor (Luas) mengumumkan penutupan empat loji rawatan air berkenaan setelah pencemaran bau dikesan.

Dalam perkembangan sama semalam, Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) Ir Dr Zaini Ujang berkata pencemaran bau air mentah di Sungai Selangor dipercayai berpunca dari kawasan Industri Kecil dan Sederhana di Taman Velox Rawang.

Katanya pencemaran itu menyebabkan air loji rawatan kumbahan IWK GBK 225 di Taman Velox bertukar kepada warna merah dan mengeluarkan bau seakan-akan bawang yang sudah busuk.

Beliau berkata pihaknya percaya terdapat industri berdekatan kawasan itu yang mengeluarkan efluen (sisa buangan) jenis warna merah yang bertanggungjawab ke atas pencemaran bau air tersebut.

"Loji kumbahan IWK ini hanya boleh merawat air kumbahan dari kawasan perumahan dan bukan cecair dari industri.

"Loji tidak dapat merawat air kerana pihak tidak bertanggungjawab telah membuang bahan industri dalam sistem pembentungan yang tidak boleh dirawat oleh loji," katanya.

Sementara itu, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) dalam satu kenyataan dimuat naik di media sosial mengatakan agensi penguat kuasa sudah menemui sebuah premis yang disyaki melakukan pembuangan efluen secara tidak sah ke lubang kumbahan (manhole) yang seterusnya mencemari Loji Rawatan Kumbahan IWK Taman Velox, di Rawang.

Span berkata ia adalah susulan operasi bersepadu melibatkan polis Gombak, LUAS, JAS, SPAN, MPS, PDT Gombak dan Pengurusan Air Selangor, semalam.

"Sisa dari premis tersebut didapati menghasilkan bau yang sama dikesan di LRK dan LRA.

"Premis tersebut telah disita oleh pihak Majlis Perbandaran Selayang," kata Span.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS