Paling Popular
Terkini

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) hampir dimuktamadkan dan dijangka ditandatangani pada akhir Sidang Kemuncak ASEAN pada Ahad ini.

Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN bermesyuarat hari ini bagi Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) Ke-19 sebagai sebahagian daripada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-37 secara maya.

“Kami akan memuktamadkan dan berharap menandatangani RCEP pada akhir sidang kemuncak ini pada Ahad,” katanya kepada pemberita selepas berakhirnya mesyuarat itu di sini hari ini.

Mohamed Azmin berkata perbincangan dan rundingan mengenai RCEP telah berlangsung sejak 10 tahun lepas.

“Menurut pasukan (perbincangan RCEP), mereka telah berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan kata sepakat antara negara-negara anggota ASEAN dan juga rakan dialog kita,” katanya.

“Alhamdulillah, saya perlu mengakui bahawa pasukan kami, bersama-sama dengan sokongan daripada negara-negara anggota ASEAN dan rakan dialog kami telah berusaha untuk memastikan kita mencapai kata sepakat pada sidang kemuncak ini, dan ini adalah perkembangan yang positif.

“Perjanjian perdagangan bebas (FTA) RCEP akan memberi manfaat kepada Malaysia dan kami mahu melihat bagaimana Malaysia memanfaatkan perjanjian ini...ini akan menjadi FTA terbesar yang pernah kita tandatangani,” katanya.

Mohamed Azmin berkata Malaysia kini mempunyai perjanjian ASEAN +1 FTA dengan China, selain perjanjian dengan Jepun, Korea Selatan dan rakan dialog yang lain.

Bagaimanapun, matlamat untuk mempunyai RCEP, katanya, untuk menggabungkan dan menyelaraskan semua FTA ini menjadi satu platform dan perjanjian yang akan memudahkan pelabur dan peniaga yang masuk ke Malaysia dan rantau Asia Pasifik.

“Oleh itu, ternyata ini akan membantu pelabur untuk mendapatkan akses pasaran yang lebih besar dan kami akan dapat memudahkan pelaburan dalam kalangan anggota RCEP."

Mengenai India yang tidak menyertai RCEP, Mohamed Azmin berkata Malaysia dan negara-negara anggota ASEAN serta rakan dialog akan terus menjalin hubungan dengan India berikutan republik itu merupakan rakan dagang yang amat penting bukan sahaja kepada Malaysia tetapi juga kepada ASEAN.

“Sebaik sahaja India memutuskan untuk menyertai atau meneruskan dengan perbincangan, kami pasti akan mengalu-alukan penyertaannya tetapi buat masa ini kami telah mencapai kata sepakat dengan atau tanpa India...kami akan meneruskan dengan menandatangani RCEP,” katanya.

Pada acara hari ini, Mohamed Azmin mengetuai delegasi Malaysia bagi membincangkan penyelesaian bersesuaian serta usaha untuk menyokong pemulihan ekonomi di rantau ini dengan memastikan pasaran terus dibuka bagi tujuan perdagangan dan pelaburan.

Cadangan Kerangka Pemulihan Komprehensif ASEAN (ACRF) dan pelan pelaksanaannya juga telah diluluskan oleh kalangan menteri-menteri terbabit dan akan dikemukakan untuk pengesahan pemimpin ASEAN pada 12 Nov, 2020.

“Ini akan berperanan sebagai panduan untuk ASEAN dalam usaha mengetengahkan penyelesaian mampan bagi pemulihan ekonomi,” katanya.

Mohamed Azmin juga menyifatkan ACRF mampu membantu Malaysia memperluas perdagangan dan pelaburan intra-ASEAN selain melonjakkan transformasi digital rantau tersebut untuk memacu ekonomi selain meningkatkan kesejahteraan masyarakat pasca-COVID-19.

Selain itu, mesyuarat tersebut turut membincangkan Laporan Awal Kajian Pelan Tindakan Komuniti ASEAN (AEC) 2025 yang dibentangkan oleh Sekretariat ASEAN serta menyokong 12 cadangan awal membabitkan pelaksanaannya.

Dalam pada itu, beliau berkata mesyuarat itu turut menyentuh perkara berkaitan Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) dan teknologi digital.

“Malaysia yakin pengukuhan strategi itu dapat mengetengahkan kerangka strategik membabitkan usaha ASEAN bagi 4IR dengan menetapkan agenda serta hala tujunya bagi tahun-tahun akan datang,” katanya.

Menyentuh Perjanjian e-Dagang ASEAN, Mohamed Azmin berkata pelaksanaannya akan membolehkan peningkatan sistemik dan memperkemas ekosistem ekonomi digital selain memudahkan perdagangan barangan serta perkhidmatan di ASEAN.

Sejurus berakhirnya mesyuarat itu, para Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai pelaksanaan Langkah-Langkah Bukan Tarif Bagi Barangan Perlu di bawah Pelan Tindakan Hanoi untuk memperkukuh kerjasama ekonomi ASEAN dan kesalinghubungan rantaian bekalan sebagai respons terhadap pandemik COVID-19.

Mohamed Azmin mewakili Malaysia untuk menandatangani MoU berkenaan yang merangkumi 152 barangan keperluan yang dikenal pasti bagi kategori makanan, ubat-ubatan dan peranti/alat perubatan, kelengkapan perlindungan diri dan disinfektan/penyahjangkit.

“MoU itu akan memudahkan pergerakan barangan keperluan ini di rantau ASEAN untuk memastikan rantaian bekalan yang lancar di rantau ini,” katanya.

Menutup acara pada hari ini adalah mesyuarat dua hala melibatkan Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN dan Menteri Perdagangan Switzerland Guy Parmelin yang diadakan secara dialog terbuka.

Selain bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan ekonomi global, menteri-menteri berkenaan turut membincangkan kaedah dan medium memperkukuhkan bidang keutamaan yang berpotensi bagi kerjasama ekonomi antara ASEAN dan Switzerland termasuk respons mengenai COVID-19 dan usaha pemulihan ekonomi, ekonomi digital, pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (MSME), pelancongan dan kesalinghubungan.

Malaysia turut menyatakan minat untuk melaksanakan kerjasama ekonomi dengan Switzerland, khususnya dalam bidang keselamatan siber, pembangunan MSME dan menangani cabaran 4IR.

Sehubungan itu, Mohamed Azmin berkata 4IR dan penubuhan Majlis Digital Negara baru-baru ini akan menyediakan dasar kepimpinan mengenai 4IR dan pendigitalan serta mempercepatkan pertumbuhan ekonomi.

“Mengenai hubungan dua hala dengan Switzerland, Malaysia juga berhasrat melihat penambahbaikan dalam hubungan perdagangan dan pelaburan dalam masa terdekat ini, ” katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS