Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Persatuan pengguna vape tak setuju cecair e-rokok dicukai

Persatuan pengguna vape tidak bersetuju dengan cadangan mengenakan duti eksais sebanyak 40 sen bagi setiap mililiter cecair rokok elektronik, seperti yang dibentangkan Belanjawan 2021 pada 6 Nov lalu.

Meskipun menyambut baik duti eksais 10 peratus ke atas peranti rokok elektronik (seperti vape) dan bukan elektronik, Presiden Pertubuhan Entiti Vape Malaysia (Move), Samsul Kamal Ariffin, melihat pelaksanaan duti eksais ke atas cecairnya sebagai “menghairankan”.

“Yang menjadi isu ialah cukai yang dikenakan ke atas cecair vape yang tidak bernikotin, itu agak menghairankan, sebab kandungan cecair itu dibuat daripada kandungan barangan yang sama untuk membuat aiskrim dan kek.

“[...] Kalau ikut pengumuman (belanjawan), kami bukan sahaja tak setuju, malah kami tak faham sebenarnya kenapa dibuat demikian,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Menganggap cecair vape yang dimaksudkan dalam belanjawan itu sebagai cecair tidak bernikotin, kata Samsul Kamal, bahan tersebut diperbuat daripada gliserin sayur-sayuran (VG) dan propylene glycol (PG) dan ia juga wujud dalam bahan menghasilkan aiskrim serta kek.

“Salah satu objektif barangan dikenakan cukai seperti arak atau rokok ialah untuk membasmi orang menggunakannya kerana ia memudaratkan kesihatan.

“Jadi kenapa cukai yang sama dikenakan (ke atas cecair vape)?Ini mendatangkan kekeliruan di pihak kami,” katanya lagi.

Perlu tindakan seiring

Katanya, Move menyambut baik usaha mengenakan cukai ke atas peranti vape kerana mereka melihat ia sebagai langkah mengawal selia pasaran, sekaligus memberi peluang kepada pengguna mendapatkan bekalan produk yang lebih selamat dan diuji.

Namun, sekiranya pengenaan cukai itu merupakan satu langkah ke arah mengharamkan penggunaan vape, katanya, Move melihat ia sebagai tindakan tidak bertanggungjawab memandangkan vape dapat membantu ramai orang untuk berhenti merokok.

“Daripada menyekat, sebenarnya kita harus menyokong (dan) mengawal selia. Kalau kita tak kawal selia pun, benda itu masih berlaku underground (secara haram), jadi baik kita kawal selia supaya kita boleh guna produk yang diuji dan selamat,” katanya lagi.

Pada 6 Nov lalu, Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz mengumumkan semua jenis peranti rokok elektronik dan bukan elektronik - termasuk vape - akan dikenakan duti eksais pada kadar ad valorem (duti mengikut nilai barang) sebanyak 10 peratus.

Ia termasuk vape, produk elektronik pemanas tembakau, shisha dan rokok paip, manakala cecair rokok elektronik pula akan dikenakan duti eksais pada kadar 40 sen per mililiter.

Persatuan E-Vaporizers dan Tembakau Alternatif Malaysia (Mevta) pula menyambut baik pelaksanaan cukai ke atas peranti mahupun cecair rokok elektronik - termasuk yang bernikotin.

Namun, kata presidennya, Rizani Zakaria, hal itu perlu seiring dengan langkah kawal selia oleh kerajaan.

Katanya, sudah bertahun-tahun Mevta memohon kerajaan membuat peraturan holistik untuk mengawal selia industri vape dari segi pembuatan, piawaian produk, pemasaran, pengedaran, penjualan serta kepenggunaan agar memberi hala tuju jelas kepada industri itu.

Ketatkan kawal selia

Namun sehingga kini kata Rizani masih banyak hal yang belum diselesaikan, seperti pelesenan dan piawaian, serta pendirian kerajaan berhubung cecair vape bernikotin yang setakat ini masih tertakluk di bawah Akta Racun 1952 dan Akta Penjualan Dadah 1952.

Ia bermaksud penjualan sebarang produk bernikotin hanya dibenarkan farmasi berlesen dan pengamal perubatan berdaftar bagi tujuan rawatan perubatan sahaja.

Rizani sebelum ini pernah menggesa kerajaan membenarkan penjualan vape bernikotin secara terkawal.

“Kami percaya ini (cukai) adalah langkah yang positif apabila kerajaan membuat peraturan dalam mengawal selia industri vape di Malaysia [...].

“(Dengan) cukai itu, barulah kita boleh memperuntukkan perkara-perkara (untuk mengawal selia), dari segi pengimport, pembuatan, pengeluaran, atau cukai dikenakan ke atas pengguna,” katanya kepada Malaysiakini.

Lebih-lebih lagi, katanya, berdasarkan laporan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi 2019 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pengguna vape di Malaysia dianggarkan seramai 1.126 juta orang membabitkan orang berusia lebih 15 tahun.

Justeru, kata Rizani, ia memerlukan kawal selia industri.

Memberikan contoh di negara luar, Rizani berkata ada hospital di United Kingdom membenarkan penggunaan vape manakala New Zealand ada peraturan untuk mengawal selia industri.

Harga meningkat ketara

“Apabila dikenakan cukai, kita menggesa kerajaan untuk mengetatkan kawal selia. Maksudnya kita tak mahu lagi lagi berlaku jualan (haram) macam rokok seludup.

“Maksudnya apabila semua dikenakan cukai, apabila semua dah dihalalkan, penguatkuasaan pun kena bergerak selarilah, mengawal pembuatan yang tak terkawal, penjualan yang tak bayar cukai dan kita kena banteras habis-habisan," jelasnya.

Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC) turut menyuarakan kebimbangan bahawa usaha kerajaan untuk menjana pendapatan melalui duit eksais produk itu akan sia-sia sekiranya masalah penjual vape yang tidak mempunyai lesen tidak diatasi.

Kata MCTC, tanpa daftar senarai penjual berlesen, tidak akan ada mekanisme pengumpulan yang dapat benar-benar berkesan, maka terdapat banyak kerja yang harus dibereskan terlebih dahulu untuk menangani kerangka kerja yang lebih besar dalam pelaksanaan itu.

Disoal bukankah pengenaan cukai sendiri akan menyebabkan harga produk naik lebih tinggi, sekaligus membuatkan pengguna beralih ke pasaran haram, Rizani menjawab, oleh sebab itu, cukai disaran agar dikenakan secara berperingkat - khususnya untuk cecair rokok elektronik.

Katanya, cukai 40 sen per mililiter itu sangat tinggi memandangkan cecair itu dijual dalam pelbagai saiz, termasuk 10ml, 50ml bahkan 100ml.

Itu bermakna, kata Rizani, cecair rokok elektronik bersaiz kecil 10ml pun akan mengalami peningkatan harga sebanyak RM4.

Baik Shamsul mahupun Rizani, kedua-duanya menggesa kerajaan agar mengadakan pertemuan dengan pengusaha industri dan pengguna rokok elektronik untuk mendapatkan maklum balas mengenai pelaksanaan cukai tersebut.

“Kalau kerajaan betul-betul serius terhadap kesihatan rakyat Malaysia, panggil wakil pengguna dan wakil pengusaha vape untuk duduk sama berbincang, kerana kami lebih tahu tentang perkara ini.

“Panggil kami duduk semeja, kita boleh berbincang semua keadaaan,” kata Shamsul.

Rizani pula memaklumkan akan ada pertemuan dalam masa terdekat antara pihaknya dengan beberapa kementerian dan jabatan kerajaan yang berkaitan, bagi memberikan pendapat mengenai isu berkenaan. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS