Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
MP keluar dewan tanda protes ucapan belanjawan Najib
Diterbitkan:  Nov 10, 2020 6:28 PM
Dikemaskini: 10:55 AM

Beberapa ahli parlimen bertindak keluar dari Dewan Rakyat pagi tadi sebagai protes terhadap ucapan belanjawan oleh bekas perdana menteri Najib Razak sebagai pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan Barisan Nasional (BNBBC).

Najib yang baru dilantik ke jawatan itu pagi tadi membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan (Belanjawan) 2021.

Maria Chin Abdullah (Petaling Jaya) berkata, dia keluar dewan sebagai tanda protes memandangkan Najib telah diputuskan bersalah atas kesalahan rasuah di mahkamah, namun masih diberikan ruang istimewa untuk membahaskan belanjawan.

“Najib diputuskan bersalah dalam kes rasuah. Tapi hari ini dia hadir sebagai pengerusi BNBBC, membahaskan Belanjawan 2021 macam tak ada apa-apa.

“Saya protes dan keluar (dewan)! #NotMyNewNormal," ciap Maria di Twitter.

Bekas pengerusi Bersih itu pernah ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (Sosma) selama 10 hari pada Nov 2016 sebelum perarakan Bersih 5 yang antara lain menuntut Najib meletak jawatan sebagai perdana menteri ketika itu.

Dia mencabar keabsahan penahanannya itu dan dibayar ganti rugi sebanyak RM25,000 oleh kerajaan, berikutan penghakiman persetujuan yang dicapai di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tahun lepas.

Ketika dihubungi, Maria enggan mengulas mengenai kritikan yang diterimanya di Twitter yang mendakwa dia sepatutnya mengemukakan bantahan di Dewan Rakyat, bukannya keluar dewan.

“Saya keluar sebab dia dah diputuskan bersalah. Saya dah tunjukkan pendirian saya, kalau mereka (pengkritik) tak nampak, saya tak dapat nak kata apa-apalah,” katanya, yang berkata ahli-ahli parlimen lain turut keluar dewan sebagai tanda protes.

Antara yang turut menciap hal sama di Twitter ialah ahli parlimen Jerlun Mukhriz Mahathir dari Pejuang.

“Ikut mana pun, saya tak faham macam mana seorang bekas PM yang diputuskan bersalah atas tujuh kesalahan salah guna kuasa, CBT dan AMLA masih boleh bercakap soal belanjawan negara di Parlimen. Norma baru?” soalnya di Twiter.

Pada 29 Julai, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta kepada Najib setelah mendapati dia bersalah atas tujuh kesalahan salah guna kuasa, pecah amanah (CBT) dan pengubahan wang haram berhubung RM42 juta dana SRC International.

Mahkamah turut membenarkan penangguhan hukumannya sementara menunggu keputusan rayuan Najib yang akan didengar di Mahkamah Rayuan 15 Feb tahun depan.

Sementara itu, ahli parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto memberitahu Malaysiakini bahawa dia secara peribadi memilih untuk tidak berada dalam Dewan Rakyat semasa perbahasan Najib.

“Memandangkan ada sistem giliran, kami tunggu seorang keluar (dahulu), untuk dapatkan pas masuk Dewan,” katanya.

Terdahulu ahli parlimen Jelutong RSN Rayer mempersoalkan 90 minit masa diberikan kepada Najib untuk perbahasan, berbanding 15 minit yang diberikan kepada ahli-ahli parlimen lain.

Speaker Dewan Rakyat Azhar Azizan Harun menggesa Rayer tidak memanjangkan isu berkenaan, dengan menjelaskan Najib diberikan 90 minit sebagai pengerusi BNBBC, dan masa yang sama juga diberikan kepada ketua pembangkang Anwar Ibrahim.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS